Politik

UMNO beri isyarat ‘berpatah arang, berkerat rotan’ dengan Bersatu

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang melabuhkan tirainya pada Ahad menyaksikan tindakan nekad parti itu yang mencapai pendirian untuk memberikan mandat kepada kepimpinan untuk menentukan jeda waktu bagi menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ia susulan keputusan ‘berpatah arang, berkerat rotan’ yang dicapai Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang, yang diluluskan pada perhimpunan ini.

Parti terbesar orang Melayu yang mempunyai 3.35 juta ahli itu sebelum ini memutuskan bahawa kebersamaannya dengan kerajaan PN adalah sehingga Parlimen dibubarkan.

Tindakan yang disifatkan sesuatu yang agak mengejutkan pada akhir perhimpunan tahunan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, perkara itu dilihat ramai pihak telah menyemarakkan kembali semangat perwakilan di sebalik isu berkaitan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama PAS, yang turut mendominasi perjalanan perhimpunan kali ini.

Berbeza dengan kehadiran perwakilan yang tidak semeriah perhimpunan pada tahun-tahun sebelum ini, persidangan kali ini memberi isyarat jelas kepada parti dan pihak di luar bahawa UMNO mahu kembali bangkit dan mengemudi negara.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain menyifatkan tindakan yang diambil bertujuan menekan kerajaan yang ditunjangi Bersatu.

“Perhimpunan kali ini adalah perhimpunan di luar kebiasaan berbanding sebelumnya dan kali ini ia lebih menumpukan soal strategi politik yang perlu diambil UMNO bagi kelangsungannya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungan pada perhimpunan yang diadakan secara hibrid dan diikuti kira-kira 2,600 perwakilan, berkata cadangan itu dibawa beberapa pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang membahaskan usul ucapan dasar presiden.

Nada sama dilagukan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan yang menegaskan sekiranya parti memutuskan untuk keluar daripada PN seperti cadangan Badan Perhubungan UMNO negeri pada Ogos lalu, semua kepimpinan parti haruslah sebulat suara untuk berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Mohd Izani, bagaimanapun, percaya bahawa keputusan yang diambil UMNO itu bukanlah bersifat ‘noktah’, sebaliknya ‘koma’.

“Kerjasama dengan Bersatu adalah tidak mustahil akan terjalin kembali selepas pilihan raya terutamanya apabila kedua-dua parti tidak memiliki kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata tindakan berkenaan akan membolehkan UMNO yang menunjangi Barisan Nasional (BN) bertanding lebih banyak kerusi pada PRU15.

“Sekiranya UMNO bekerjasama dengan Bersatu, sekurang-kurangnya 50 kerusi Parlimen terpaksa diserahkan kepada parti itu.

Ini saya kira menimbulkan kegusaran kepada UMNO,” katanya.Beliau yang mengikuti perjalanan perhimpunan itu berkata walaupun persidangan kali ini dilihat lebih didominasi oleh isu berkaitan Bersatu dan MN, namun masih terdapat isu berkaitan rakyat diketengahkan.

“Saya kira ia dibincangkan agak seimbang namun kerana tumpuan lebih diberikan kepada isu berkaitan Bersatu dan MN, maka ia dilihat seperti tidak membincangkan isu rakyat,” katanya.

– BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: