Terkini

Heitech sokong inisiatif digitalisasi, sumbang 100 tablet

Kuala Lumpur – HeiTech Padu Berhad (HeiTech), penyedia perkhidmatan teknologi maklumat (IT) menyumbang sebanyak 100 unit peranti tablet kepada pelajar daripada tiga buah sekolah dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia bertujuan membantu mereka mengikuti Program Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penerima sumbangan tablet tersebut adalah terdiri daripada pelajar-pelajar dari SMK Puchong Perdana, SK Dusun Tua dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia yang mana setiap sekolah mempunyai keperluan yang berbeza. Sumbangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi HeiTech, Salmi Nadia Mohd Hilmey di majlis ringkas penyampaian sumbangan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi HeiTech, Salmi Nadia Mohd Hilmey

Sumbangan peranti tablet bernilai RM55,000 adalah sebahagian daripada Program Sumbangan Tablet HeiTech dalam menyokong rangka tindakan MyDigital di mana YAB Perdana Menteri menyarankan agar semua lapisan masyarakat perlu bergerak ke arah digitalisasi termasuk mereka yang kurang upaya dan berada di kawasan pedalaman.

“Sebagai pemain teknologi yang telah berada di dalam industri selama lebih 25 tahun, kami sentiasa bersedia membawa digitalisasi ke peringkat seterusnya dengan menjadi sebahagian daripada inisiatif MyDigital. Oleh itu, salah satu daripada strategi kami adalah dengan memberi tumpuan kepada pemerkasaan rakyat Malaysia terhadap penggunaan teknologi dan penyelesaian digital bagi meningkatkan kehidupan mereka dalam segala aspek”.

“Idea untuk melaksanakan program ini bertitik-tolak daripada pelaksanaan PKP tahun lalu di mana kami sedar bahawa keperluan peranti untuk kaedah pembelajaran secara online dan di bilik darjah adalah tinggi dan mereka yang kurang berkemampuan akan ketinggalan,” tambah Salmi Nadia.

“Walaupun sekolah kini kembali dibuka untuk pembelajaran secara bersemuka, namun usaha ini tidak akan dihentikan kerana peranti seperti tablet ini boleh digunakan sebagai alat bantuan pembelajaran untuk kelas digital. Di samping itu, kami percaya keperluan pembelajaran secara maya sentiasa ada dan dijangka akan terus meningkat selaras hala tuju pendidikan nasional ke arah digitalisasi.

“Berdasarkan tinjauan dan maklum balas yang diterima daripada pihak sekolah dan ibu bapa, kami menyedari kesukaran dan kekangan yang dihadapi oleh para pelajar untuk mengikuti PDPR terutama di kalangan keluarga kategori B40.

“Kami berharap peranti tablet ini akan membantu pelajar yang kurang bernasib baik supaya mereka tidak merasa terpinggir dan ketinggalan disebabkan latar belakang sosio-ekonomi atau kurang upaya, dan boleh terus belajar mengikut norma baharu,” tambah beliau.

Pemilihan pelajar dilakukan oleh pihak sekolah masing-masing di mana keutamaan diberikan kepada mereka daripada keluarga B40, yang bakal menduduki peperiksaan utama pada 2021 dan tidak menerima sebarang bantuan seumpamanya sebelum ini.

Selain pelajar, HeiTech turut menyumbang sebanyak 5 unit peranti tablet kepada pihak sekolah dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia bagi kegunaan guru yang terlibat dalam pengajaran secara online. Bantuan ini akan membantu pihak sekolah untuk mencapai aspirasi menyediakan kelas digital bagi kemudahan pelajar terutamanya ketika PKP.

“Kami berharap hubungan kerjasama yang dirintis dengan pihak sekolah ini akan membuka laluan untuk kerjasama yang lebih meluas pada masa akan datang. Semoga benih yang ditanam melalui usaha murni ini akan membuahkan hasil yang membanggakan suatu hari nanti,” tambah Salmi Nadia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: