Bisnes

Agrobank lanjutkan bantuan pembayaran pinjaman

KUALA LUMPUR – Agrobank akan terus menawarkan bantuan pembayaran dan menerima permohonan sehingga akhir Disember 2021 di bawah program Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar (BBPB).

Program BBPB yang dijalankan oleh Agrobank sebelum ini dimulakan pada 24 November 2020 dan pada awalnya dijadualkan berakhir pada 30 Jun 2021.

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar, berkata lanjutan bantuan pembayaran selaras dengan pengumuman kerajaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) yang berkaitan moratorium bersasar.

Katanya, inisiatif yang dilaksanakan BBPB dan sebarang bantuan kewangan yang diambil pelanggan tidak akan mempengaruhi status Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

“Bank menyedari bahawa adalah penting untuk memberikan bantuan kewangan kepada individu yang terjejas, terutama kepada mereka yang kehilangan pendapatan atau berkurang dengan ketara, selain mereka yang menjalankan perniagaan dan sedang mengalami kesan buruk.

“Bantuan pembiayaan itu akan diberikan kepada mereka yang terjejas, untuk membantu pelanggan individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan bantuan kewangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0),” katanya dalam satu kenyataan.

Khadijah berkata, selain daripada kumpulan sasaran yang ditetapkan, pelanggan lain yang terjejas juga dialu-alukan menghubungi pegawai cawangan atau pengurus perhubungan masing-masing untuk membincangkan kemungkinan penyelesaian bagi mengatasi cabaran kewangan yang mungkin dihadapi.

“Sebagai institusi kewangan yang mengutamakan kesejahteraan dan kemajuan komuniti pertanian, kami berharap langkah ini dapat membantu pelanggan yang sedang berhadapan masalah kewangan, sekali gus membolehkan mereka memberi fokus kepada perkara lain yang lebih kritikal dalam meneruskan kehidupan,” katanya.

Beliau menjelaskan, sekiranya situasi berlanjutan, bank akan mempertimbangkan kemungkinan menawarkan penyusunan semula dan penjadualan semula pembiayaan dan ia terbuka kepada pelanggan perniagaan dan PKS serta individu yang terkesan oleh situasi semasa dengan permohonan mereka akan dinilai berdasarkan kes.

“Oleh kerana Agrobank menyediakan pembiayaan yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai pertanian, bantuan yang tersedia adalah bersesuaian untuk pelanggan individu, mikro, PKS dan korporat,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: