KUALA LUMPUR – Petugas media yang sudah berdaftar akan terima suntikan vaksin mulai Rabu ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Dalam pada itu, beliau menyarankan warga emas tidak memilih jenis vaksin dalam program vaksinasi.
“Bermula hari ini, akan ada petugas media yang akan mendapat janji temu. Bagaimanapun, senarai jumlah sebenar petugas media ini sedang disemak di peringkat akhir ini,” katanya kepada media selepas melawat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KLCC, yang mula beroperasi, hari ini.
Isu mengenai suntikan vaksin COVID-19 kepada petugas media mula diperkatakan sejak bulan lalu kerana kumpulan pekerja ini belum memperoleh suntikan vaksin biarpun program vaksinasi negara bermula sejak beberapa bulan lalu.
Semalam, tanda pagar #CucukMyPress sudah dimulakan petugas media seluruh negara, berikutan tarikh janji temu vaksin itu masih belum tiba meskipun dijanjikan pada awal bulan ini.
Khairy dalam sidang media Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) pada 28 April lalu, mengumumkan kira-kira 1,500 petugas media bakal menerima vaksinasi pada Mei.
