Terkini

Harga emas pukal susut lima peratus

KUALA LUMPUR – Harga emas pukal menyusut sehingga lima peratus sejak awal bulan ini, sekali gus menjadikannya masa yang sesuai untuk meningkatkan pegangan dalam aset selamat itu.

Pengurus Besar Kanan Jualan dan Pemasaran Habib Jewels Sdn Bhd, Mohd Zaruddin Mahmud, berkata kejatuhan harga emas daripada AS$1,900 (RM7,857.07) seauns atau RM277.15 segram kepada AS$1,854 (RM7,666.85) seauns atau RM270.44 segram meningkatkan permintaan aset lindung nilai terbabit.

Katanya, ketika premis fizikal yang menjual emas atau barang kemas ditutup ketika tempoh sekatan pergerakan penuh sejak 1 Jun lalu, platform e-dagang menjadi pilihan pelanggan selepas trafik dalam talian melonjak dengan ketara.

“Kejatuhan harga emas pukal sebanyak lima peratus ketika ini dijangka terus memacu permintaan dalam masa terdekat. Platform dalam talian Habib Jewels juga meningkat tiga kali ganda.

“Ia jelas menunjukkan ramai mengambil kesempatan untuk meningkatkan pegangan emas ketika tempoh pandemik,” katanya dalam temu bual secara maya bersama BH.

Mengulas lanjut, Zaruddin berkata, dua perkembangan penting pada peringkat domestik turut dilihat menjadi pemacu penting kepada peningkatan keyakinan pelabur emas untuk meningkatkan pegangan.

“Kenyataan meyakinkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) serta Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), selain laporan bahawa Raja-Raja Melayu sependapat bahawa tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos ini boleh memacu kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Ia juga meningkatkan tahap keyakinan pelabur tempatan untuk menambah aset selamat ketika harga emas jatuh bersandarkan menjangkakan positif ekonomi negara akan terus pulih tahun ini.

“Untuk tempoh jangka sederhana, kita tidak dapat jangka sama ada harga akan terus menyusut atau kembali meningkat kerana emas sangat sensitif ke atas ketidaktentuan pada peringkat global,” katanya.

Beliau berkata, kejatuhan harga emas dunia amat berkait rapat dengan perkembangan di Amerika Syarikat (AS), terutama selepas Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) menyatakan kenaikan kadar faedah pertama akan berlaku pada 2023.

“Kenyataan ini jelas menunjukkan pemulihan ekonomi AS sedang berjalan dengan baik, sekali gus menyaksikan pelabur kembali semula ke pasaran kewangan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Ekonomi OCBC Bank, Howie Lee, berkata harga emas dijangka menyusut kepada AS$1,800 (RM7,406.96) seauns atau RM261.27 segram akhir tahun ini selepas berada pada paras kemuncak semasanya AS$1,900 seauns.

Katanya, jangkaan itu berdasarkan kemajuan pelaksanaan program vaksinasi global dan langkah monetari Rizab Persekutuan (Fed) AS yang mendorong harga aset selamat itu menyusut.

“Jangkaan kami bahawa paras stabil emas kekal pada AS$1,500 (RM6,172.47) seauns atau RM217.73 segram, yang mana kami berpendapat ia mungkin menyusut menjelang akhir tahun depan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Lee berkata, emas merosot dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dan kemudian mengesan semula semua kerugiannya pada April dan Mei.

Katanya, penurunan awal itu disebabkan ekonomi global yang semakin pulih, sementara daya tarikan lindung nilainya terhadap inflasi mungkin terlepas pandang daripada pelaburan komoditi mentah dan perdebatan mengenai mata wang kripto.

“Kenaikan harga emas pada suku kedua disebabkan jangkaan peningkatan kadar inflasi dan persekitaran makro yang tidak menentu berikutan lonjakan kes COVID-19 di Asia, selain penurunan data pembayaran gaji bukan ladang AS,” katanya.

Lee menjelaskan, berdasarkan penilaian bank itu, emas diniagakan terlalu tinggi dengan jajaran nilai saksama yang ditetapkan OCBC Bank adalah AS$1,750 hingga AS$1,850 (RM7,201.21 hingga RM7,612.71) seauns atau RM254.02 hingga RM268.53 segram.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: