Terkini

Malaysia tolak gender ketiga

PUTRAJAYA – Malaysia tidak akan berganjak dengan pendirian terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata pendirian rasmi kerajaan ialah tidak membenarkan gender ketiga di negara ini.

Katanya, gender ketiga perlu ditolak seperti pendirian Malaysia menolak dasar luar pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) yang mempromosi hak asasi golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ).

“Hujah yang tuntas perlu dikemuka untuk tidak membenarkan gender ketiga di negara ini kerana ini bertentangan dengan syariat Islam. Dan, kerajaan tidak menyokong sebarang kempen LGBT di negara ini,” katanya yang dikongsi di Facebooknya ketika menyampaikan amanat dalam persidangan secara maya bersama Ahli Jawatankuasa Penyelidik Kajian Implikasi Gender Ketiga yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam.

Mesyuarat Khas Pasukan Bertindak Menangani LGBT yang bersidang Khamis lalu memutuskan akan mengambil tindakan tegas secara bersepadu, bagi menangani isu penghinaan agama secara umum dan promosi LGBT, khususnya di media sosial akan dilaksanakan dengan segera.

Mesyuarat dipengerusikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary memutuskan tindakan itu sebagai komitmen kerajaan dalam menangani masalah berkenaan.

Tindakan itu antara lain ialah mengenal pasti kekangan yang dihadapi penguat kuasa dalam melaksanakan penguatkuasaan bersepadu serta mencadangkan pindaan Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan undang-undang tatacara jenayah syariah di negeri-negeri.

Ini bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan terhadap orang Islam yang menghina agama Islam dan melakukan kesalahan jenayah syariah lain dengan menggunakan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi.

Selain itu, antara tindakan lain ialah menghasilkan prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan bertulis secara menyeluruh mengenai tatacara mengendalikan aduan, bagi kesalahan berkaitan penghinaan agama dan promosi gaya hidup LGBT.

Mesyuarat khas bawah Pelan Tindakan Sosial Islam itu dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh membabitkan beberapa agensi termasuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: