Terkini

Isu pengiktirafan vaksin perlu dibincang di peringkat antarabangsa – KJ

KUALA LUMPUR – Malaysia mahu isu pengiktirafan vaksin dibincang dan diperhalusi di peringkat antarabangsa supaya tidak timbul sebarang diskriminasi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pendirian Malaysia adalah jika vaksin itu diterima oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), maka negara-negara lain juga harus mengiktiraf mereka yang sudah divaksin.

“Malaysia juga harap tidak ada diskriminasi daripada kilang mana vaksin itu datang kerana semua vaksin adalah sama.

“Kilang AstraZeneca menggunakan formula yang sama, tidak kira kilang itu di Eropah, India atau Korea Selatan mahupun di Thailand,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mines di Seri Kembangan dekat sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa Kesatuan Eropah (EU) hanya mengiktiraf Vaxzeria (vaksin AstraZeneca) yang diluluskan Agensi Perubatan Eropah (EMA).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu berkata, tindakan mengasingkan kilang-kilang tertentu dilihat satu perkara yang tidak adil.

Sehubungan itu, beliau akan meminta penjelasan daripada wakil EU di negara ini berhubung keputusan kesatuan itu.

Khairy berkata, Malaysia juga sedang sedang berbincang dengan negara lain temasuk Arab Saudi berhubung pengiktirafan jenis vaksin.

Sebahagian besar daripada negara Islam seperti Indonesia, Pakistan dan Turki termasuk Malaysia menggunakan vaksin dari China yang diiktiraf WHO, katanya.

“Jadi apabila Arab Saudi kata tidak iktiraf (vaksin dari China) bagaimana jemaah dari negara-negara ini akan menunaikan ibadah haji tahun depan,” katanya.

Ditanya sama ada golongan yang telah melengkapkan dua dos vaksin akan diberi kelonggaran, Khairy berkata, garis panduan sedang dirangka di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, garis panduan mengenai “apa yang anda boleh lakukan sebaik saja melengkapkan suntikan vaksin”, dijangka siap bulan depan.

Bagaimanapun katanya, buat masa sekarang dengan penularan Covid-19 varian Delta, perkara itu perlu dilakukan dengan berhati-hati.

Mengenai PPV Mines, Khairy berkata, pada masa ini pusat itu memberikan 5,000 dos vaksin sehari dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 10,000 dos vaksin sehari minggu depan seiring dengan peningkatan suntikan dos kedua vaksin.

Ini akan membantu negara mencapai kadar vaksinasi harian mencecah 300,000 dos sehari menjelang minggu depan, katanya.

– Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: