Luar Negara

Zarah SARS-CoV-2 terapung di udara ketika bercakap, menyanyi

SINGAPURA – Kajian baharu diketuai penyelidik Singapura mendedahkan bahawa partikel (zarah) sindrom pernafasan akut teruk coronavirus 2 (SARS-CoV-2) daripada seorang yang dijangkiti, boleh tersebar sewaktu bercakap atau menyanyi.

Penyelidik Universiti Nasional Singapura (NUS) mendapati, zarah halus yang terapung di udara (aerosol) – kurang daripada 5 mikrometer (μm) – yang terhasil daripada dua jenis aktiviti ini, mengandungi lebih banyak zarah virus daripada zarah kasar – lebih daripada 5 μm.

Penyelidik membuat rumusan, zarah halus yang tersebar daripada pernafasan mungkin memainkan peranan besar dalam penularan SARS-CoV-2, terutama dalam persekitaran tertutup dan dengan itu, ia perlu diambil kira sewaktu proses merangka langkah pencegahan.

“Kajian sebelum ini menunjukkan memang wujud zarah yang terapung di udara atau sejumlah zarah halus yang terhasil daripada percakapan atau menyanyi. Bagaimanapun, mereka tidak mengukur jumlah zarah virus SARS-CoV2 yang terhasil,” kata ketua projek, Profesor Madya Tham Kwok Wai menerusi kenyataan pada Rabu.

Kwok Wai berkata, menurut perkiraan mereka, ini adalah kajian pertama untuk mengukur dan membandingkan zarah halus SARS-CoV-2 yang terhasil menerusi pernafasan, bercakap dan menyanyi.

“Oleh itu, kajian pasukan ini menyediakan asas untuk menganggarkan risiko penularan jangkitan,” kata Kwok Wai daripada Jabatan Pembinaan Alam Sekitar, Sekolah Pembangunan Reka Bentuk dan Alam Sekitar.

Kajian yang pertama kali diterbitkan dalam jurnal Clinical Infectious Diseases pada 6 Ogos 2021, membabitkan 22 pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke Pusat Penyakit Berjangkit (NCID) daripada Februari hingga April 2021.

Peserta kajian ini perlu melakukan tiga aktiviti pernafasan sehari; aktiviti bernafas selama 30 minit, bercakap selama 15 minit dengan membaca kuat buku kanak-kanak, dan 15 minit menyanyi beberapa lagu. Mereka dibenarkan berehat di antara setiap aktiviti.

“Kami mendapati pesakit Covid-19 peringkat awal meninggalkan kesan zarah asid ribonukleat (RNA) SARS-CoV-2 dalam pernafasan.

“Bagaimanapun, kadar pelepasan virus daripada pernafasan itu berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Agak mengejutkan juga kerana sesetengah pesakit mereka melepaskan lebih banyak virus ketika bercakap berbanding menyanyi,” kata ketua bersama projek itu, Dr Kristen Coleman dari Sekolah Perubatan Duke-NUS.

Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa pendedahan terhadap zarah halus yang terhambur daripada pernafasan perlu ditangani, terutama dalam persekitaran tertutup, tempat penularaan SARS-CoV-2 menerusi bawaan udara sering berlaku.

Bagi mengurangkan risiko terdedah terhadap zarah seni ini adalah menerusi langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, meningkatkan tahap pengudaraan bilik, menyediakan sistem penapisan udara lebih cekap dan menggunakan teknologi pembersihan udara yang sesuai.

Khususnya, pasukan penyelidik mencadangkan pendekatan pencegahan berlapis bagi mengurangkan risiko penularan SARS-CoV-2 bawaan udara.

Selepas kemunculan varian Delta yang dilaporkan lebih mudah berjangkit, pasukan penyelidik itu merancang untuk meneruskan kajian menggunakan kaedah sama bagi menentukan sama ada zarah halus yang keluar daripada pernafasan mereka yang dijangkiti varian Delta, turut lebih tinggi berbanding varian sebelum ini.

Oleh kerana bercakap adalah aktiviti utama masyarakat, penyelidik juga ingin mengkaji tahap risiko jangkitan daripada pernafasan atau pengesanan virus hidup daripada pernafasan mereka yang dijangkiti penyakit berkenaan.

– Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: