KUALA LUMPUR – Imam Masjid Negara Ustaz Khisamudin Ismail meninggal dunia pada Sabtu, 14 Ogos 2021.
Difahamkan allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5.55 pagi tadi di Hospital UiTM, Sg Buloh akibat komplikasi jantung.

Berita sedih mengenai pemergian Ustaz Khisamudin turut dikongsi Masjid Negara melalui laman Facebook rasmi.
“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Ustaz Khisamudin Ismail, Imam Masjid Negara yang telah kembali ke rahmatullah pada 14 Ogos 2021. Moga seluruh ahli keluarga tabah menghadapi kehilangan insan tersayang.
“Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat-Nya ke atas beliau dan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman,” kata hantaran tersebut.
Jenazah allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Arang kira-kira jam 10.30 pagi tadi.