KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Rabu berikutan kekurangan minat belian susulan sentimen pelabur terus berhati-hati dalam persekitaran tidak menentu disebabkan perkembangan politik negara.
Pada jam 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.2400/2440 berbanding dolar AS daripada 4.2370/2380 semasa ditutup pada Selasa.
Seorang penganalisis memberitahu Bernama bahawa pelabur lebih memilih dolar AS yang selamat berikutan data jualan runcit, pengeluaran industri dan pelaburan bandar China yang rendah pada Julai selain Covid-19 yang menyebabkan gangguan di seluruh rantau.
Sementara itu, Bloomberg melaporkan krisis kepimpinan negara yang berterusan boleh menjadi permulaan kepada kemerosotan yang lebih mendalam jika mata wang gagal meningkat semula melebihi paras tertinggi 4.2105 berbanding dolar AS pada 5 Ogos, 2021.