Bisnes

AirAsia akan selesaikan terbitan hak berjumlah RM974.5 juta

KUALA LUMPUR – AirAsia Group Berhad (AAGB) hari ini mengumumkan ia akan menyelesaikan terbitan hak boleh lepas kepada pemegang saham sedia ada selepas penyenaraian RCUIDS dan Waran pada hari Jumaat, 31 Disember 2021 berjumlah RM974.5 juta sebagai suntikan kuat untuk menyokong strategi pengumpulan dana AirAsia Group secara keseluruhan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri  Tony Fernandes berkata: “Selepas dua tahun yang paling mencabar dalam sejarah penerbangan komersial, akhirnya kita dapat melihat sinar di penghujungnya yang mana kami telah terselamat daripada pandemik ini. Kami telah menyusun dan melancarkan semula strategi syarikat dan kini kami berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk pulih lebih cepat. 

“Kami telah memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan untuk menyemak semula setiap aspek operasi syarikat penerbangan kami dengan fokus pada kawalan kos yang ketat dan melaksanakan strategi rangkaian dan pesawat yang lebih optimum untuk kembali beroperasi dengan lebih kukuh di semua pasaran utama.

“Kami juga telah berubah menjadi kumpulan perkhidmatan perjalanan dan gaya hidup digital dan tidak bergantung pada tambang penerbangan semata-mata, menjadikan model perniagaan yang lebih teguh dan berdaya tahan untuk masa hadapan. Asean adalah rantau kami yang paling kukuh dengan akses kepada lebih 700 juta orang dan tiada jenama lain yang menawarkan perkhidmatan seumpama kami. Sepanjang 18 bulan yang lalu, kami telah melancarkan pelbagai perniagaan baharu untuk memenuhi permintaan pengguna dalam ekonomi digital yang semakin berkembang. AAGB kini merupakan syarikat pelaburan dengan portfolio perniagaan dalam industri perjalanan dan gaya hidup yang memanfaatkan teknologi untuk menawarkan nilai terbaik pada kos terendah, disokong oleh data dan salah satu jenama terkemuka Asia yang kekal komited untuk memberi perkhidmatan kepada semua golongan.

“Pada awal tahun ini, airasia Super App telah mencapai status unikorn dalam tempoh kurang dua tahun selepas ia dinilai lebih AS$1 bilion oleh Credit Suisse. Cabang teknologi kewangan kami, BigPay pula telah mengumpul sehingga AS$100 juta dalam pembiayaan daripada SK Group. BigPay terus mengubah kesalinghubungan teknologi kewangan di rantau ini dengan mendemokrasikan perkhidmatan kewangan, menyediakan aksesibiliti dan keterangkuman untuk semua golongan seperti individu, PKS dan perniagaan permulaan. BigPay kini menumpukan usaha untuk mendapatkan lesen pinjaman bank untuk mengembangkan tawaran kadar rendahnya. 

“Terbitan Hak yang diumumkan pada hari ini merupakan komponen penting dalam keseluruhan strategi pengumpulan dana kami yang menyokong operasi semula perjalanan udara merentasi Asean pada 2022. Kami telah meneruskan penerbangan di semua pasaran utama kami secara beransur-ansur dan berharap untuk kembali ke tahap pra-Covid bagi laluan popular pada tahun baharu ini di samping peningkatan kadar vaksinasi, prosedur ujian dan pendidikan yang lebih baik di semua pasaran kami. Ia juga menunjukkan keyakinan pelabur yang berterusan dalam strategi pemulihan keseluruhan kami termasuk transformasi digital yang telah menerima sokongan yang menggalakkan melalui pelbagai inisiatif pengumpulan dana.

“Baru-baru ini, kami juga telah mendapat kelulusan daripada Danajamin Nasional Bhd untuk pinjaman terjamin 80% sehingga RM500 juta, yang menandakan sokongan padu untuk strategi transformasi kami untuk menjadi lebih daripada sebuah syarikat penerbangan dalam era digital. 

“Apa yang penting, pengumuman hari ini menandakan strategi pengumpulan dana kami kekal di landasan tepat. Kami kini telah berjaya mencapai pengumpulan dana sehingga lebih RM2.5 bilion, menyediakan mudah tunai yang kukuh untuk meningkatkan operasi sehingga tahun hadapan di mana kami menjangka operasi syarikat akan lebih mampan dan terus memacu nilai pemegang saham.

“Memandangkan transformasi digital kami terus mendapat momentum yang kukuh, kami berharap untuk mengumpul dana baharu bagi airasia Super App yang berkembang pesat, cabang logistik Teleport dan cabang kejuruteraan serantau kami, Asia Digital Engineering (ADE) dalam masa terdekat.

“airasia Super App yang kini mempunyai 16 tawaran perjalanan dan gaya hidup berbeza telah menjadi salah satu daripada tiga agensi pelancongan dalam talian (OTA) teratas di Asean dan bakal mencapai matlamatnya sebagai aplikasi super pilihan ramai di Asean. Ia bukan sahaja menawarkan nilai terbaik untuk penerbangan dan penginapan, malah makanan, kesihatan, produk kecantikan, teknologi pembelajaran, perkhidmatan penghantaran, e-panggilan dan banyak lagi. Teleport mempunyai peningkatan permintaan yang ketara dengan memanfaatkan lonjakan besar dalam industri e-dagang Asean untuk perkhidmatan penghantaran secara menyeluruh dan kami melihat potensi besar untuk ADE menjadi penyedia penyelenggaraan pesawat terkemuka di Asean.” 

Terbitan Hak tersebut termasuklah sekuriti hutang Islam tidak bercagar boleh tukar boleh tebus (RCUIDS) selama 7 tahun (“RCUIDS”) dengan nilai nominal RM0.75 setiap satu, ditambah waran boleh tanggal percuma, berdasarkan 2 RCUIDS dengan 1 waran bagi setiap 6 pegangan saham AAGB. Sebagai komponen utama inisiatif pengumpulan dana AAGB, Terbitan Hak ini akan membolehkan AAGB menyokong pelbagai segmen di bawah syarikatnya, termasuk tetapi tidak terhad kepada, modal kerja dan kos operasi lain yang ditanggung akibat pandemik Covid-19 dan kos yang diperlukan untuk meningkatkan operasi sempena pemulihan perjalanan antarabangsa, selain pembiayaan untuk pelbagai unit perniagaan digital airasia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: