Kuala Lumpur – Syarikat pemasaran bumiputera, Newsfeed Media komited dalam memfokuskan pelan pengiklanan dan penjenamaan bagi membantu usahawan kecil dan sederhana (PKS) dalam rangka perniagaan lebih berkembang.
Dalam memastikan perkhidmatan pemasaran dan pengiklanan secara luar talian di media arus perdana terus relevan tanpa ditelan peredaran zaman, pelbagai strategi telah dirancang sejak tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Newsfeed Media, Norzira Syarini Mohammed Pauzi berkata, pemasaran secara luar talian menerusi media adalah penting bagi meningkatkan kepercayaan mengenai sesuatu produk kepada pelanggan mereka.
“Kebanyakkan usahawan pada masa kini hanya bergantung kepada pengiklanan dalam talian sahaja, namun medium luar talian sangat berperanan memastikan sesuatu perniagaan lebih mudah dikenali.
“Newsfeed Media bukan fokus kepada keuntungan pengiklanan semata-mata, yang penting kita membantu usahawan dan perniagaan mereka cepat berkembang” katanya dalam satu sidang media.
Sejak ditubuhkan hampir tiga tahun, Newsfeed Media membantu lebih 500 pelanggan dalam memperkenalkan produk dan jenama mereka menerusi televisyen, akhbar, radio, papan iklan, bas dan beberapa medium pengiklanan lain.

Newsfeed Media juga telah memeterai satu memorandum bersama Fareha Holding Sdn Bhd bagi pelan pemasaran luar talian sebanyak RM2,238,835.00 dan tahun ini sekali lagi melabur bagi fokus iklan melalui medium radio berjumlah RM1.5 juta.
“Untuk tahun ini, Fareha menyambung pelan pemasaran di radio sebanyak RM1.5 juta dan ini menjadikan pelaburan iklan keseluruhan sebanyak lebih RM3.7 juta setakat ini” tambahnya.
Pengarah dan pengasas Fareha Holding, Nurul Fareha Anuar menjelaskan kerjasama ini diteruskan apabila perniagaannya melonjak sejak mula berkerjasama dengan Newsfeed Media pada awal penglibatan dalam arena bisnes.

“Empayar perniagaan Fareha bermula dengan jualan tudung yang melonjak sejak mengikuti pelan iklan dari mereka dan seterusnya berkembang kepada perniagaan emas.
“Sejak tahun 2021, kami tingkatkan pelaburan dengan jumlah lebih besar khusus untuk iklan luar talian dengan pelbagai startegi yang telah diatur” katanya.
Antara pelan pengiklanan luar talian yang telah dirangka termasuk kemunculan dalam beberapa program di stesen televisyen termasuk TV3, RTM, TV Al Hijrah, radio dan akhbar tempatan. Selain itu, pemasangan papan iklan di lebuh raya seluruh Malaysia.
Dalam majlis itu, Nurul Fareha turut menurunkan tandatangan pada replika cek dan menerima trofi ‘The Most Outstanding Brand 2021’ .