Terkini

Apa Istimewanya Azam Baki? Dia bukannya ahli politik pun…

Tak faham dengan segelintir warga kita ini yang tak habis-habis nak buat himpunan
jalanan. Adakah mereka ini tidak sedar bahawa negara masih bergelut dengan
wabak Covid-19 dan paling membimbangkan penyebaran virus Omicron yang lebih pantas berjangkit berbanding virus Delta.


Andaikata himpunan ini diadakan, mereka yang terlibat dalam perhimpunan ini
secara tidak langsung mungkin boleh menjadi punca bertambahnya kes jangkitan
virus yang boleh membawa maut ini untuk menyebarkannya kepada orang lain
termasuk ahli keluarga masing-masing.


Jadi, ini bukannya satu tindakan bijak untuk mengadakan perhimpunan yang tidak
langsung mendapat kebenaran daripada pihak polis malahan silap haribulan dapat
surat saman pulak. Tak pasal-pasal kena bayar kompaun RM10,000.


Maka fikirkanlah baik-baik kepada orang ramai di luar sana yang mahu menyertai
perhimpunan anjuran Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki yang disokong oleh lapan parti politik ini yang dirancang diadakan pada 22 Januari (Sabtu) jam 11 pagi di hadapan Sogo, Kuala Lumpur.

Lagipun, isu mengenai Ketua Pesuruhjaya SPRM ini sudah selesai selepas siasatan dijalankan Suruhanjaya Sekuriti (SC) terhadap Tan Sri Azam Baki, sudah
dimuktamadkan dan ditutup.

Justeru, janganlah kita mudah mempercayai hasutan dan sentimen yang dimainkan oleh sesetengah pihak yang mahukan perhimpunan ini dijalankan.


Tak payah lah nak tunjuk hero dalam hal yang bukannya mendatangkan faedah
langsung semata-mata mahu memperjuangkan isu rasuah kerana Tan Sri Azam Baki bukannya seorang ahli politik tetapi hanyalah seorang penjawat awam yang diamanahkan untuk menjalankan tugas membanteras rasuah di negara ini.
Tanpa beliau mungkin negara akan kehilangan wang berbilion ringgit akibat sikap rakus perasuah-perasuah yang tidak henti-henti mencari kesempatan untuk
mengaut keuntungan.


Mungkin ada yang tidak sedar bahawa gerakan untuk memburuk-burukkan nama
SPRM sudah bermula sejak akhir tahun lalu menerusi serangan secara terancang.


Ada yang mengaitkan gerakan ini dilakukan menggunakan tentera siber dengan
didalangi oleh segelintir ahli politik yang sedang berdepan dengan kes mahkamah
malah ada juga mendakwa dilakukan oleh mereka yang mahu memperjuangkan isu
integriti.


Macam-macam persepsi didengari sehinggakan tidak tahu siapa yang sebenarnya menjadi dalang.

Segala maklumat yang didedahkan menyaksikan usaha pembunuhan karakter
dilakukan terhadap Azam secara berterusan dan disambut oleh mereka-mereka yang mahu menumpang populariti sepanjang isu ini dibangkitkan.


Dimanakah suara-suara 1.6 juta penjawat awam lain yang sepatutnya berdiri
dibelakang untuk mempertahankan institusi perkhidmatan awam daripada menjadi bahan tohmahan dan fitnah pihak-pihak tertentu yang tidak senang dengan
tindakan tegasnya dalam pembanterasan rasuah.


Selain itu, sudahkah kita lupa peristiwa ketika zaman reformasi pada 1998 yang
diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan banyak kedai-kedai ditutup
serta ramai anggota polis yang cedera.


Sudahlah kebanyakan peniaga-peniaga di sekitar kawasan Jalan Tuanku Abdul
Rahman itu baru nak ‘bernafas’ semula selepas terkesan teruk akibat langkah
kerajaan melakukan sekatan pergerakan atau lockdown selama berbulan-bulan.


Bersimpatilah kepada peniaga-peniaga ini kerana ada dikalangan mereka bergantung penuh kepada perniagaan kecil-kecilan seperti peniaga air atau makanan untuk menyara keluarga sedangkan untung yang diperolehi pula tidak seberapa.


Kasihanlah juga kepada anggota polis yang terpaksa bersesak-sesak melakukan
kawalan perhimpunan ini kerana mereka juga manusia yang mahukan rehat
selepas berbulan-bulan tidak dapat bercuti akibat pelaksanaan sekatan pergerakan.


Justeru, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian, seharusnya kita
memikirkan semula tindakan untuk menyertai perhimpunan jalanan ini sama ada ia memberikan manfaat atau keburukan.


Janganlah jadi ‘pak turut’ gara-gara hasutan, sentimen dan propaganda yang
dijalankan oleh segelintir pihak menerusi platform media sosial yang mengajak
orang ramai menyertai perhimpunan haram ini.


Negara kita mempunyai undang-undang dan peraturan, janganlah kita
mencabulinya dengan hanya menjadi pengikut yang tidak tahu hujung pangkal dan motif perjuangan sebenar.


Oleh Azmi Khamis
Manjung, Perak

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: