Kuala Lumpur – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) menyambut baik saranan YAB Perdana Menteri supaya memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan negara dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya berkaitan keperluan pembangunan dan peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran tenaga kerja.
Usaha dan tumpuan kerajaan dalam pembangunan modal insan ini disokong dalam pembentangan bajet 2022 apabila kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion untuk tujuan pendidikan termasuk pemerkasaan TVET.
Menurut Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju, Kol Bersekutu (PA) Ts. Dr Mohd Muzzammil Ismail, Yayasan Peneraju sememangnya telah menyediakan program latihan TVET sejak penubuhannya 10 tahun lalu. Objektif program-program ini adalah untuk menyumbang kepada peningkatan bilangan Bumiputera yang memiliki pensijilan kemahiran tinggi yang diiktiraf di peringkat industri dan antarabangsa seterusnya mencapai sasaran negara untuk meningkatkan bilangan tenaga kerja berkemahiran tinggi tempatan.
Sejak tahun 2020, Yayasan Peneraju meluaskan lagi penawaran program TVET yang mempunyai elemen kebolehpasaran dan kebolehgajian kepada golongan bekerja & tidak bekerja – ini termasuk graduan-graduan baru, siswazah menganggur, mereka yang kehilangan pekerjaan, ataupun mereka yang ingin meningkatkan kemahiran ‘upskill’ atau mempertingkatkan kemahiran ‘reskill’ ke tahap yang lebih tinggi
Setakat ini, 19,135 graduan baru, tenaga kerja sedia ada, belia keciciran & penganggur diberi latihan TVET re-skilling & upskilling dalam sektor berpendapatan tinggi. 2,460 pelajar lepasan SPM sehingga individu bekerja dilatih untuk pengiktirafan pensijilan profesional dalam bidang ICT & MRO Aeroangkasa.
Antara cabang kerjaya yang ditawarkan adalah Specialist In CAD/CAM, System Integration in Automation & Robotics, Dynamic Positioning Officer, Scaffolding Level 3, Welding Inspector Level 1 & 2 dan Drone Certification Training di dalam sektor perkilangan, minyak & gas, pembuatan, maritim dan lain-lain. Para peserta yang mengikuti program ini akan menjalani latihan di lokasi terpilih di seluruh Malaysia termasuk Kedah, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.