Bisnes

McDonald’s Malaysia serah zakat perniagaan RM500 ribu kepada PPZ-MAIWP

KUALA LUMPUR – McDonald’s Malaysia telah menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM500 ribu kepada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi tahun 2022. Ini merupakan jumlah tertinggi semenjak McDonald’s Malaysia mula membayar Zakat perniagaan lima tahun lalu, sejak syarikat itu diambil alih Lionhorn Pte. Ltd pada tahun 2017, sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.

“Bayaran zakat perniagaan ini merupakan salah satu dari inisiatif kami bagi menyumbang kembali kepada masyarakat yang memerlukan yang juga merupakan nilai teras McDonald’s Malaysia. Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak PPZ-MAIWP atas penyerahan Sijil Pembayar Zakat Perniagaan kepada McDonald’s Malaysia. Diharap dengan sijil-sijil yang akan dipamerkan di restoran kami, keyakinan masyarakat terhadap syarikat kami akan tetap utuh,” kata Encik Azhar Darbi, Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia.

“Tahniah diucapkan kepada McDonald’s Malaysia kerana menjadi satu syarikat contoh yang boleh diikuti oleh syarikat lain. Sebagai satu nama besar, kami yakin McDonald’s Malaysia mampu mempengaruhi lebih banyak syarikat di luar sana untuk menunaikan zakat perniagaan sekaligus dapat membantu meningkatkan ekonomi asnaf.” Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

“MAIWP dalam pada itu menzahirkan rasa penghargaan McDonald’s Malaysia atas komitmen berterusan melunaskan rukun Islam ke empat ini. MAIWP terus mengharapkan kesedaran syarikat-syarikat besar untuk membayar zakat kepada Majlis Agama atau Pusat Zakat Negeri kerana dengan wang zakat anda inilah, kami akan terus dapat menyantuni masyarakat Islam terutamanya asnaf yang memerlukan. Insyaallah, kita harap kolaborasi strategik sebegini akan diteruskan dari masa ke masa dalam usaha kita membantu asnaf meneruskan kelansungan hidup,” ujar Ustaz Mohd Nizam bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, MAIWP.

McDonald’s Malaysia juga telah mengadakan Program Ziarah Komuniti Asnaf, dengan menyantuni 50 buah keluarga asnaf di sekitar kawasan Danau Kota, Kuala Lumpur dan menyerahkan sumbangan wakalah agihan dalam bentuk ‘kotak rezeki’ dan duit raya.

McDonald’s Malaysia telah diambil alih oleh Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Reza Group di Arab Saudi pada 1 Disember 2016. Dengan pengambilalihan ini, syarikat khidmat segera itu kini dimiliki oleh pemegang saham atau pelabur yang majoritinya terdiri daripada umat Islam.

Selain membayar Zakat, McDonald’s Malaysia juga bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan Halal Development Corporation untuk terus mendukung komitmen Halal dan melibatkan diri dalam aktiviti Halal dalam semua aspek perniagaan. McDonald’s Malaysia juga terlibat secara aktif dalam pelbagai program Halal termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), HALFEST dan World Halal Conference.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: