Terkini

Kertas konsensus berkenaan penyahsarafan renal diterbitkan dalam Jurnal Penyelidikan Hipertensi

KUALA LUMPUR – Kertas konsensus berkenaan penyahsarafan renal yang dihasilkan oleh Kumpulan Kerja Penyahsarafan Renal Malaysia (MyRDN), sebuah usaha sama antara Persatuan Hipertensi Malaysia dan Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, telah diterima untuk diterbitkan di dalam jurnal khas perubatan Penyelidikan Hipertensi.

Kertas yang menyediakan saranan dan garis panduan untuk pakar-pakar penjagaan kesihatan mengenai penggunaan rawatan penyahsarafan renal untuk pesakit hipertensi tersebut telah menjalani penilaian setara oleh pakar-pakar industri dan diterbitkan di dalam jurnal untuk pakar-pakar penjagaan kesihatan dan kini boleh diakses oleh orang ramai.

Dr Alan Fong, Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia (NHAM), berkata: “Kami berbangga kerana kertas konsensus yang dihasilkan sepenuhnya oleh pakar-pakar dari Malaysia ini telah diterbitkan oleh Jurnal Penyelidikan Hipertensi, yang merupakan jurnal rasmi untuk Persatuan Hipertensi Jepun. Jurnal ini menerbitkan pelbagai kajian asal yang berkualiti tinggi khususnya dalam bidang hipertensi atau tekanan darah tinggi, dan penyakit-penyakit lain berkaitan jantung.”


Kertas konsensus tersebut juga akan disediakan sebagai dokumen akses umum di laman web Jurnal Penyelidikan Hipertensi untuk rujukan pakar-pakar penjagaan kesihatan dan orang ramai.

Profesor Datin Dr Chia Yook Chin, Pengerusi Bersama MyRDN dan Bekas Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia berkata: “Golongan pakar penjagaan kesihatan dan orang ramai perlu mempunyai akses kepada saranan dan garis panduan untuk rawatan penyahsarafan renal. Para doktor dan pesakit boleh membincangkan kesesuaian prosedur ini berdasarkan keadaan individu dan membuat keputusan bersama. Ini amat penting kerana kertas konsensus tersebut menyatakan bahawa pilihan pesakit adalah salah satu perkara yang perlu dipertimbangkan semasa membuat keputusan untuk meneruskan prosedur ini.”

Penyahsarafan renal adalah sejenis prosedur invasif minimum di mana gelombang frekuensi radio disasarkan pada saraf-saraf simpatetik renal (buah pinggang) untuk mengurangkan aktivitinya yang menyumbang kepada masalah hipertensi. Antara pesakit yang disarankan untuk menjalani prosedur ini adalah mereka yang menghidap hipertensi rintangan; pesakit yang tekanan darahnya tetap tinggi walaupun telah mengambil kombinasi terbaik
ubat-ubatan antihipertensi; pesakit yang sering tidak dapat mematuhi rutin pengambilan ubat-ubatan walaupun telah menjalani kaunseling, dan pesakit yang tidak mahu terikat dengan ubat-ubatan jangka panjang.

Dr Fong menyebut tentang sebuah kajian di Sarawak yang mendapati satu daripada empat pesakit yang terlibat dalam penyelidikan tersebut dan disyaki menghidap hipertensi rintangan, benar-benar mempunyai masalah hipertensi rintangan. Oleh itu, para penyelidik (termasuk Dr Fong) menganggarkan bahawa kira-kira 200,000 orang dewasa di Malaysia menghidap hipertensi rintangan sebenar pada tahun 2021, berdasarkan data kebangsaan.


Kajian tersebut yang telah dihantar ke Kongres NHAM 2022 telah dijalankan dengan tujuan mengisi jurang data berkenaan prevalens dan epidemiologi hipertensi rintangan sebenar di Malaysia.

“Adalah penting untuk mengenal pasti jumlah yang lebih tepat bagi hipertensi rintangan di Malaysia kerana pesakit yang menghidap hipertensi jenis ini menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk penyakit jantung dan buah pinggang berbanding hipertensi biasa. Pesakit yang menghidap hipertensi rintangan boleh memilih untuk menjalani penyahsarafan renal sebagai rawatan tambahan untuk membantu mereka menurunkan tekanan darah dan seterusnya turut mengurangkan risiko masalah jantung dan buah pinggang yang serius,” kata Dr Fong.

Menurut data daripada 80 pesakit pertama yang terlibat dalam ujian klinikal SPYRAL HTN-ON MED yang sedang dijalankan, mereka yang mengalami hipertensi tidak terkawal walaupun mengambil ubat-ubatan antihipertensi mengalami 18.7 mmHg penurunan tekanan darah sistolik yang diperiksa secara berterusan dalam masa 24 jam melalui pengawasan ambulatori, dan 20.9 mmHg penurunan apabila diperiksa di pejabat, tiga tahun selepas menjalani prosedur tersebut. Sebagai perbandingan, pesakit yang menjalani prosedur sham (iaitu angiogram renal, dan bukan penyahsarafan renal) mengalami 8.6 mmHg penurunan tekanan darah sistolik yang diperiksa secara berterusan dalam masa 24 jam melalui pengawasan ambulatori, dan 12.5 mmHg penurunan apabila diperiksa di pejabat.

Ujian klinikal tersebut juga menunjukkan bahawa penggunaan kateter penyahsarafan renal Symplicity Spyral yang dihasilkan oleh Medtronic, adalah selamat untuk jangka panjang, di mana tiada situasi memudaratkan dari peranti atau prosedur yang berlaku sepanjang analisis selama tiga tahun.

Dr Fong dan Prof Datin Dr Chia merupakan sebahagian daripada panel yang membincangkan kertas konsensus tersebut, penyahsarafan renal dan hipertensi rintangan di Malaysia semasa pelancaran kertas konsensus tentang penyahsarafan renal yang dianjurkan oleh Medtronic hari ini. Mereka disertai oleh ahli-ahli panel lain iaitu Pengerusi Bersama MyRDN Dr Ong Tiong Kiam, pakar kardiologi kanan Institut Jantung Negara (IJN) Dato’ Seri
Dr Azhari Rosman, dan Bekas Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: