Kuala Lumpur – Skuad Harimau Malaya melakar sejarah apabila layak secara merit ke Piala Asia selepas lebih empat dekad selepas berjaya menumpaskan Bangladesh 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Kemenangan itu menyaksikan pasukan Malaysia berjaya mengumpul enam mata, sekaligus berada dalam lima pasukan teratas dan layak ke Piala Asia 2023.
Kejayaan skuad kendalian Kim Pan Gon itu disaksikan kira-kira 50,000 penyokong pasukan negara termasuk Perdana Menteri datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Harimau Malaya yang berada di ranking ke-154 dunia turun dengan hanya perlu mencatatkan keputusan seri berdepan Bangladesh yang di ranking ke-188 dunia.

Pasukan negara bagaimanapun melangkah ke kejohanan berprestij itu dengan bergaya apabila membenam pasukan lawan dengan gol-gol hasil jaringan Safawi Rasid melalui sepakan penalti di minit ke-16, Dion Cools minit ke-38, Syafiq Ahmad minit ke-47 dan Darren Lok minit ke-73.
Pasukan Bangladesh hanya beroleh gol saguhati melalui jaringan Mohammad Ibrahim pada minit ke-31.
Kali terakhir Malaysia membuat penampilan di Piala Asia adalah pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun sudah 42 tahun pasukan negara gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.