Kuala Lumpur – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersimpati dan akan mempertimbang kedudukan penjawat awam di Parlimen.
Parlimen dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Syafiq Abdullah ketika Mesyuarat Jawatankuasa Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah (TIA), Dewan Negara hari ini berkata, pihaknya akan mempertimbangkan sewajarnya dalam hal berkaitan tugas, emolumen, kenaikan pangkat dan taraf perjawatan di Parlimen.
Mesyuarat TIA yang merupakan kali ketiga telah dipengerusikan Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim.
Menurut kenyataan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Dewan Negara turut mengambil maklum tentang usaha mewujudkan perkhidmatan Parlimen yang baharu melalui Akta Perkhidmatan Baharu yang bakal menggantikan status quo JPA mentadbir perjawatan di Parlimen.
Dalam mesyuarat itu juga, KPPA menyifatkan cadangan menambahbaik perjawatan di Parlimen sebagai usaha mengembalikan semula status serta kepentingan perkhidmatan Parlimen dalam susunan agihan kuasa dan fungsinya di bawah Perlembagaan.
“Jawatankuasa bersetuju bahawa perkara-perkara jawatan utama di Parlimen diselaraskan dengan status Parlimen sebagai badan legislatif tertinggi negara.
“Justeru jawatan-jawatan ini tidak harus diisi hanya berasas kepada lunas bidang tugas biasa,” kata kenyataan itu.