KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menganjurkan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Ke-18 (MIHAS) 2022.
Menurut YBhg. Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, INSP MIHAS 2022 akan menjadi tuan rumah kepada 400 pembeli antarabangsa dari lebih 50 negara sekitar rantau Timur Tengah, Eropah, Asia Tengah, Asia Selatan, ASEAN, Oceania dan Afrika. Sejumlah 2,760 mesyuarat perniagaan bakal diatur semasa acara fizikal INSP MIHAS yang akan berlangsung pada 6 September 2022.
“INSP MIHAS tahun lepas menghubungkan sebanyak 385 syarikat Malaysia dengan 333 pembeli antarabangsa, sekali gus menjana nilai urus niaga berjumlah RM749.1 juta bagi pengeksport Malaysia. Kami meramalkan program ini akan mencatatkan kejayaan yang setanding pada tahun ini. Oleh yang demikian, kami amat menggalakkan syarikat Malaysia untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang hebat ini untuk mengembangkan eksport mereka ke pasaran baharu dengan menemui pembeli antarabangsa dan menerokai kerjasama antara segmen,” kata YBhg. Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.
YBhg. Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz menambah bahawa INSP MIHAS 2022, membuka peluang untuk syarikat-syarikat Malaysia berhubung dengan para pembeli premium dari negara-negara seperti Qatar, Arab Saudi, Amerika Syarikat, India dan Turki. Para pembeli ini mewakili beberapa konglomerat, runcit dan pasar raya terbesar di negara-negara tersebut.
INSP MIHAS membabitkan mesyuarat perniagaan yang telah diatur, secara fizikal dan maya, yang menggalakkan urus niaga dagangan antara pembeli antarabangsa dan pembekal produk dan perkhidmatan Halal Malaysia.
Para pembeli antarabangsa di INSP MIHAS tahun ini berhasrat untuk berhubung dengan syarikat-syarikat Malaysia dalam segmen-segmen yang berikut:
13 Kluster MIHAS 2022
- Makanan & Minuman;
- Perkhidmatan & Pemudahcara Industri;
- Kosmetik & Penjagaan Peribadi;
- Fesyen Santun;
- Teknologi Makanan;
- Farmaseutikal;
- Media & Rekreasi;
- E-Dagang;
- Kewangan Islam;
- Pelancongan Mesra Muslim;
- Francais;
- Pendidikan; dan
- Kesenian dan Kraf Islam.
Produk/perkhidmatan lain
- Ramuan makanan;
- Mesin pemprosesan makanan; dan
- Pembungkusan.
Syarikat-syarikat Malaysia yang mempunyai produk dan perkhidmatan Halal digalakkan untuk mendaftar melalui pihak Urusetia MIHAS INSP tanpa sebarang caj. Mesyuarat perniagaan B2B secara maya akan dijadualkan menerusi platform mesyuarat maya berdasarkan ketersediaan pembeli dan penjual. Manakala mesyuarat B2B fizikal, akan diadakan pada 6 September di MATRADE, sehari sebelum pameran MIHAS 2022 bermula, manakala mesyuarat B2B maya kini sedang berlangsung sehingga 31 Ogos.
Penganjuran program tahun ini secara hibrid adalah sejajar dengan peralihan Malaysia ke fasa endemik dan pembukaan semula sempadan negara.
Pendaftaran bagi INSP MIHAS dibuka sehingga 18 Ogos untuk acara fizikal dan 31 Ogos untuk acara maya.
Untuk pendaftaran bagi acara fizikal INSP MIHAS, sila layari: https://tpms.matrade.gov.my/matrade-tpms/promotionRegistrationPublicSubmitSearch/13417
Untuk mendaftar bagi acara maya INSP MIHAS 2022, sila layari:
https://tpms.matrade.gov.my/matrade-tpms/promotionRegistrationPublicSubmitSearch/13428