Putrajaya – Polis sedang menyiasat kebocoran draf penghakiman untuk kes rayuan SRC International Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asmadi Abdul Aziz berkata, kertas siasatan dibuka dibawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan dua undang-undang lain.
Menurutnya, terdapat dua laporan polis berhubung perkara itu yang kedua-duanya dilaporkan di Putrajaya.
Asmadi berkata, polis setakat ini telah merekodkan kenyataan daripada pengadu dan pegawai komunikasi korporat.
“Kenyataan daripada beberapa orang lagi akan diambil,” katanya kepada media melalui mesej teks, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 OSA, yang menyentuh berhubung komunikasi rahsia rasmi secara salah.
“Jika sabit kesalahan, kedua-dua pengirim dan penerima boleh dipenjara antara satu hingga tujuh tahun. Penerima perlu membuktikan dia tidak mahu menerima komunikasi sedemikian,” katanya.
Selain itu, Asmadi berkata kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA).
Seksyen 203A Kanun Keseksaan berkaitan pendedahan maklumat yang dikumpul dalam melaksanakan tugas, dan boleh dihukum denda sehingga RM1 juta, penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya; jika disabitkan bersalah.
Sementara itu, Seksyen 233 CMA memperkatakan tentang penyalahgunaan kemudahan rangkaian. Jika sabit kesalahan, seseorang boleh didenda sehingga RM50,000, hukuman penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.
Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kepada bekas Perdana Menteri itu dalam kes SRC International.
Bagaimanapun, sebelum keputusan itu dibacakan, draf penghakiman bertarikh 26 Ogos telah bocor dan kemudiannya diterbitkan di laman web penulis blog kontroversi Raja Petra Kamaruddin.
Ini mendorong Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk menuntut jawapan sama ada dokumen itu sahih.
Kemudian, pejabat pendaftar mahkamah mengesahkan draf penghakiman yang telah dibocorkan itu, dan menjelaskan dokumen yang bocor itu belum dimuktamadkan.
“Penghakiman muktamad disampaikan di mahkamah terbuka sekitar jam 4 petang…
“Didapati bahawa dokumen itu telah diubah suai,” kata pendaftar itu.