Politik

Azalina sah letak jawatan Penasihat Khas PM

Kuala Lumpur – Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini mengesahkan peletakan jawatan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Hak Asasi
Manusia).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini, PMO berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menerima surat peletakan jawatan Azalina yang bertarikh 29 Ogos lalu.

“Perdana Menteri telah menerima peletakan jawatan beliau dengan notis sebulan seperti yang dimaklumkan dalam surat berkenaan.

“Notis sebulan diberikan bertujuan menyelesaikan kerja-kerja yang berkaitan dengan kakitangan beliau, namun dalam tempoh itu, Azalina tidak lagi bertugas di PMO kerana diberi cuti mulai 1 September sehingga tamat notis pada akhir September.

“Ismail Sabri mengucapkan penghargaan dan terima kasih
atas perkhidmatan yang telah diberikan sepanjang tempoh beliau berkhidmat,” kata kenyataan itu.

Peletakan jawatan Azalina itu dipercayai susulan kritikannya terhadap Perdana Menteri pada sesi Taklimat Khas Presiden Umno berhubung isu Peguam Negara (AG).

Azalina mengkritik Perdana Menteri kerana gagal melantik “orangnya” sebagai AG, sebaliknya mengekal AG yang dilantik kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menjelaskan, pelantikan AG adalah atas nasihat Perdana Menteri, maka dia harus melantik ‘orang dia’ untuk mudahkan segala urusan.

“Pelantikan AG adalah atas nasihat PM dan PM harus melantik ‘orang dia’ sebagai peguam negara untuk mudahkan segala urusan.

“Jika kuasa penukaran AG di tangan PM, mengapa PM tidak menukarkan AG, malah ia adalah bidang kuasa PM. Saya nak tanya satu sahaja, takkan nak tukar AG pun tak boleh,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: