Terkini

Harga siling minyak masak botol diturunkan minggu depan

Kuala Lumpur – Harga siling minyak masak sawit botol akan diturunkan bermula 8 September hingga 7 Oktober ini, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, harga siling bagi minyak masak 5 kilogram (kg) diturunkan daripada RM34.70 kepada RM33.50, manakala minyak masak botol 3kg diturunkan kepada RM21.10 daripada RM21.70.

Katanya, minyak masak botol 2kg pula diturunkan daripada RM14.70 kepada RM14.30, dan botol 1kg daripada RM7.70 kepada RM7.50.

“Penurunan ini berasaskan kepada harga minyak sawit mentah (CPO) pada Ogos iaitu RM4,169 per tan metrik.

“Harap tidak timbul kekeliruan walaupun harga minyak sawit naik sedikit berbanding Julai iaitu pada RM4,060 per tan metrik kerana mengambil kira RM2 yang diserap yang diberikan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Putrajaya hari ini.

Annuar berkata, selidikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan 15 perkara mempunyai wajaran tinggi menyumbang kepada inflasi.

Beliau berkata, antaranya adalah bayaran sewa, petrol RON95, bil elektrik, kos prabayar, rokok, makanan berasaskan mi, langganan Astro, harga ayam goreng dan ayam segar serta insurans kenderaan.

Katanya, pasukan khas akan mengambil langkah proaktif untuk melihat kepada setiap satu perkara berwajaran tinggi menyumbang kepada inflasi itu, supaya ada tindakan susulan dan awalan dilakukan secara berterusan.

“Urus setia dan DOSM akan melihat kepada aspek ini dan menggariskan apakah tindakan yang mungkin boleh dilakukan termasuk yang bersifat advokasi dan tindakan lain.

“Dalam kata lain, jawatankuasa perlu mula memperluaskan peranan selain daripada menumpukan kepada harga beberapa barang makanan tertentu.

“Ini kerana laporan (DOSM) menunjukkan selain kos barang makanan, kos yang terkait dengan pengangkutan dan perumahan adalah antara kos yang menyumbang kepada inflasi,” katanya.

Annuar, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, walaupun kadar inflasi negara meningkat 4.4 peratus kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada Julai 2021 dan kadar itu masih terkawal.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: