Bangi – Seperti pepatah harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, itulah yang telah disaksikan oleh penonton hasil sentuhan pengarah berprolifik, Syamsul Yusof. Karya yang diterbitkan oleh Studio Kembara ini membentangkan sejarah sekaligus membuktikan para penonton di Malaysia masih dahagakan filem berciri kepahlawanan dan perjuangan.
Berjaya mengutip hampir RM100 Juta dan menjadi antara filem paling popular di Netflix, ini memberi satu tanda aras bahawa filem melayu tidak pernah ketinggalan dalam industri perfileman dalam dan luar negara.

Pengarah urusan dan Penerbit Studio Kembara, Abdul Rahman Mat Dali menjelaskan filem arahan Syamsul Yusof ini membawa berjaya membawa penonton kembali ke zaman pahlawan melayu, merasai kepayahan, keberanian, pengorbanan dan jiwa kepahlawanan yang ada dalam memperjuangkan tanah air, sekaligus menjadikan ianya sebuah sejarah yang sangat memberi inspirasi.
“Promosi filem sepenuhnya melalui media dan kongsian di media sosial benar-benar menyuntik semangat bangsa dan kepahlawanan seterusnya menarik minat rakyat Malaysia untuk ke panggung wayang dengan aura pahlawan menonton satu keluarga” katanya.
Ditanya adakah Studio Kembara akan tetap menggunakan garapan pengarah yang sama, beliau berkata pihaknya tidak terikat dengan satu pengarah sahaja dan akan bekerjasama bersama tenaga yang lain.
“Sebagai sebuah syarikat, kami tidaklah terikat atau tetap dengan seorang pengarah sahaja, namun kami juga memberi peluang kepada pengarah-pengarah lain dan pastinya elemen-elemen perjuangan, jati diri dan semangat juang akan terus menjadi pilihan kami sebagai memberi contoh dan ilmu kepada golongan pelapis yang menonton” jelasnya lagi.
Beliau yang ditemui dalam Majlis Santai Bersama Media turut memaklumkan bakal bekerjasama dengan produksi dari Turki bagi penerbitan filem berunsurkan sejarah kepahlawanan islam.
“Kami telah ke Turki untuk mengintai peluang dan kerjasama dengan pihak disana untuk sebuah filem suntikan elemen pejuang islam dan dalam masa sama untuk projek 2023 pula, Insya Allah akan muncul satu siri drama tv” tambahnya..
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan hadiah kepada 13 peserta parodi filem Mat Kilau yang telah berlangsung pada bulan September.


Juara dimenangi oleh kumpulan Mohd Hafizi yang membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai RM10,000. Manakala, naib juara disandang oleh kumpulan Mohd Fahmy dengan hadiah berupa trofi dan wang tunai RM5,000. Bagi tempat ketiga yang membawa pulan trofi dan wang tunai RM3,000 dimenangi oleh kumpulan Saiful Akmal.

Seramai 10 peserta memenangi tempat saguhati dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000.