Sepang – Nama Malaysia sekali lagi harum di persada dunia sukan larian menara setelah jaguh negara Soh Wai Ching meraih gelaran juara pada Pertandingan Mendaki Anak Tangga Space Needle Amerika Syarikat di Seattle pada 2 Oktober lalu.
Atlet berumur 28 tahun itu cukup unggul memecahkan rekod terdahulunya iaitu 4:16s di Tristan Roth pada tahun 2019 dengan mencatatkan masa 3 minit 50 saat pada kejohanan kali ini. Menara di Seattle ini merangkumi 49 tingkat dengan 832 anak tangga pada ketinggian 158.5 meter sekaligus merekodkan Wai Ching dalam Guinness World Record.
Pencapaian setelah 5 tahun berkecimpung dalam arena larian menara, Wai Ching menyifatkan Perlumbaan di Amerika Syarikat ini begitu mencabar apabila terlibat dalam 4 pertandingan secara ‘back to back’.

“Syukur,saya gembira dengan keputusannya! Saya telah bermula dengan larian yang sangat pantas dan melakukan yang terbaik untuk bertahan pada kadar tersebut dan menamatkan perlumbaan itu dengan kuat.”
“Walaupun saya mengalami demam dan sakit tekak namun saya berjaya memotivasikan diri untuk terus berlari menuju ke penamat di puncak dalam rekod masa yang singkat” katanya setelah tiba di KLIA tengah malam tadi.
Wai Ching juga turut berterima kasih kepada Datuk Bandar Petaling Jaya dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) atas kesudian menajanya sebanyak RM100,000 bagi memudahkan urusan perbelanjaan bagi menyertai acara tersebut disana.
“Saya amat berterima kasih dan sangat menghargai usaha dan dana tajaan dari MBPJ serta sokongan padu dari Datuk Bandar Petaling Jaya kerana memabantu saya.
“Bermula tajaan pertama sebanyak RM25,000 saya gunakan untuk pembelian tiket kapal terbang dan kegunaan penting lain, sehinggalah dana seterusnya secara keseluruhan berjumlah RM100,000 sangat-sangat membantu saya merealisasikan kejayaan ini” jelasnya lagi.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan bin Md. Amir menyifatkan kejayaan Soh Wai Ching sebagai satu tanda aras meletakkan PJ sebagai bandar kecil di Malaysia yang mampu berada di puncak menara tertinggi dunia.
“Soh Wai Ching akan membawa kain rentang Petaling Jaya untuk dikibarkan selepas pertandingan selesai dan penyampaian hadiah, ini menunjukkan Petaling Jaya sudah berada gah di puncak dunia.

“Beliau juga diangkat sebagai duta MBPJ bagi program-program masyarakat, motivasi dan jurulatih bagi program pembangunan remaja sukan Olahraga MBPJ dan seterusnya mampu memberi contoh baik kepada generasi muda” tambahnya.
Dalam masa sama, beliau turut berkongsi seorang lagi atlet sukan lasak, Khairul Aslan Abd Rasid yang akan ditaja oleh MBPJ untuk merentas banjaran paru-paru dunia di Acheh dan melalui laluan yang paling sukar bagi mencipta rekod dunia.