KUALA LUMPUR – Kretip Malaya bakal menganjurkan program bengkel dan “showcase” khusus untuk para pemuzik jalanan yang memfokuskan kepada wanita.
Tujuan utama penubuhan ini adalah untuk memperkasakan belia di Malaysia dengan kemahiran kreatif dan keprihatinan terhadap isu-isu semasa dan menyumbang tenaga kerja kepada komuniti sambil mengembangkan pelbagai cabang minat belia masa kini seperti menjalankan aktiviti seni, muzik dan kemahiran.
Golongan wanita dilihat semakin ramai menceburkan diri dalam menjalankan aktiviti ini pada masa kini dari pelbagai peringkat usia. Oleh itu, Buskernita iaitu program aktiviti “busking” khusus hanya untuk golongan wanita sahaja, buat pertama kali akan diadakan.
Sehubungan dengan itu program ini diharap dapat terus memperluaskan peluang dan ruang kepada mereka yang berbakat dan berminat menceburi industri ini.

Program satu hari ini yang akan diadakan pada 12 November 2022 akan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bengkel di sebelah pagi yang akan bermula pada jam 9 pagi hingga 12 tengahari, yang akan memfokuskan tentang pendedahan lebih khusus kepada peserta seperti tatacara, aspek teknikal dan juga pemasaran penjenamaan peribadi.
Selain daripada itu peserta akan di sajikan dengan perkongsian daripada beberapa pemuzik jalanan yang berjaya menempah nama di dalam industri, penyertaan terbuka dan percuma kepada semua golongan yang berminat.
Pada sebelah petang pula, pertandingan yang dinamakan “Buskernita Challenge” yang hanya terbuka kepada golongan wanita sahaja mengikut syarat dan terma.
Kedua-dua aktiviti ini akan dijalankan di pusat membeli belah Lalaport Bukit Bintang Kuala Lumpur.

Program ini juga bekerjasama dengan persatuan Malaysian Buskers, komuniti berdaftar yang mewakili penggiat seni jalanan peringkat Nasional. Selain itu, pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang menyokong penuh program ini dan juga akan turut serta di dalam bengkel bagi memberi pencerahan tentang persepsi masyarakat tentang pemuzik jalanan yang sering dikaitkan dengan masalah sosial seperti dadah.
Oleh itu, dengan adanya program sebegini, ia diharapkan akan dapat sama-sama membantu orang awam yang berminat dalam industri kreatif khususnya pemuzik jalanan dalam membentuk peribadi dan kerjaya yang stabil dan mengubah persepsi orang ramai tentang pemuzik jalanan.