Kuala Lumpur – HABIB secara rasminya melancarkan wajah baharu cawangannya di Aeon Alpha Angle. Bilik pameran ini mempunyai keluasan lebih kurang 474 kaki persegi sebelum ini, kini diubahsuai ke ruangan yang lebih luas bersaiz 2,253 kaki persegi untuk memberikan ‘customer experience’ HABIB yang menyeluruh.
Detik bermakna buat HABIB yang telah berkembang selama 30 tahun, adalah bagi menghargai sokongan pelanggan setia dan menjadikan pengalaman membeli-belah yang selesa sebagai keutamaan.

Lokasinya terletak di pintu utama dan berhadapan dengan “centre court”, memudahkan para pelanggan terus menuju ke bilik pameran. Perasmian pembukaan dimulakan dengan upacara pemotongan reben yang disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Dato’ Sri Meer Habib serta kaki tangan cawangan.
Sebagai sebuah syarikat yang amat mementingkan pelanggan, HABIB sentiasa berusaha untuk memenuhi kehendak mereka. Salah satu keunikan bilik pameran ini adalah, tempat konsultansi khas yang disediakan, di mana pelanggan dapat berbincang dengan pereka HABIB untuk rekaan barang kemas peribadi. Selain itu, ruang bertutup bagi pelanggn muslimah yang ingin menindik telinga serta ruang kopi kecil untuk keselesaan pelanggan yang menunggu.
Menerapkan elemen moden kontemporari, motif tradisional songket Melayu diterjemahkan pada rekaan ‘feature wall’ bagi menunjukkan tanda sokongan terhadap industri kraftangan yang menjadi salah satu identiti Malaysia. Berlatarbelakangkan gabungan rona warna ungu, ianya mewakili unsur kepelbagaian budaya di negara ini. Rona emas dan gangsa diaplikasikan pada logo adalah sebagai lambang identiti dan warisan yang menjadi pegangan jenama HABIB.

Dato’ Sri Meer Habib menjelaskan, bakal membuka lebih banyak cawangan namun beberapa aspek harus diambil kira sebelum melaksanakannya.
“Insya Allah, kami akan memberi nafas baru kepada cawangan sedia ada dan bakal membuka beberapa cawangan lagi namun perlu mengambil kira beberapa aspek penting sebelum memulakannya.

“Dalam tahun hadapan, kami akan keluar dengan pelbagai reka emas terbaru namun masih mengekalkan ciri-ciri budaya Malaysia yang akan menjadi tarikan kepada peminat emas” katanya.
Ditanya mengenai cabaran ekonomi pada tahun 2023, beliau turut menambah bahawa seluruh dunia sedang mengalami inflasi yang tinggi dan secara tidak langsung industri emas juga turut merasa tempiasnya, namun menyatakan Habib Jewels sentiasa optimis dan bersedia dalam cabaran global itu.

“Kita tahu harga emas ada naik turunnya, namun dalam menghadapi kemelesetan ekonomi global yang diperkatakan, kami bersedia dan yakin itu hanya bersifat sementara” jelasnya lagi.