Kuala Lumpur – Program Peneraju Skil memberi fokus kepada pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang bersesuaian dengan permintaan industri melalui pensijilan diiktiraf industri atau antarabangsa dan seterusnya membawa kepada bidang kerjaya berpendapatan tinggi.

Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) adalah sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan objektif utama untuk mengukuhkan pembinaan keupayaan Bumiputera secara sejagat dan berterusan.
Sejak mula beroperasi pada 2012 sehingga kini, Yayasan Peneraju telah merubah kehidupan lebih 50,000 penerima faedah menerusi lebih 400 program pembiayaan yang dijalankan bersama lebih 100 rakan program.
Pembiayaan yang ditawarkan adalah merangkumi pelbagai segmen kumpulan Bumiputera termasuk dari golongan B40, M40, luar bandar dan kumpulan terpinggir di seluruh Malaysia termasuk golongan yang kehilangan pekerjaan.

Program-program di bawah Peneraju Skil memberi tumpuan kepada program latih semula (reskill) dan naik taraf latihan (upskill) supaya tenaga kerja lebih bersedia untuk kekal relevan, selain memperluas tawaran sedia ada dalam memenuhi permintaan pasaran dan industri.
Antara objektif Yayasan Peneraju adalah untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera selaras dengan usaha kerajaan untuk memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi menerusi program pembiayaan akademik (Peneraju Tunas), pensijilan TVET (Peneraju Skil), profesional (Peneraju Profesional), teknologi (Peneraju Teknologi) & spesialis (Peneraju Spesialis).

Pensijilan yang ditawarkan pula adalah diiktiraf di peringkat industri dan/atau antarabangsa, relevan serta seiring dengan permintaan industri agar para penerima faedah lebih future ready dan future proof. Bagi sesetengah program, penempatan pekerjaan disediakan untuk penerima faedah selepas tamat program (bergantung kepada prestasi semasa program).
Kumpulan sasaran program Peneraju Skil merangkumi golongan berumur 18 – 45 tahun meliputi:
- Lepasan UPSR/SPM berumur 18 – 25 tahun
- Lepasan SKM atau Pelajar tahun akhir Diploma/Ijazah berumur 18 – 25 tahun
- Lepasan Diploma/Ijazah berumur 19 – 35 tahun dengan pengalaman kerja tidak melebihi 3 tahun
- Individu Bekerja/Tidak Bekerja berumur 21 – 45 tahun dengan pengalaman kerja 3 tahun ke atas

Eksekutif Kanan, Pengurusan Program & Penyampaian Perkhidmatan, Alfia Nelisa Junaidy menjelaskan setiap tahun, laporan menunjukkan lebih 95% penerima faedah mendapat pekerjaan dalam tempoh 6 bulan selepas latihan dan lebih 80% mencapai sasaran gaji dalam tempoh sama.

“Bagi tahun 2023, Peneraju Skil mensasarkan untuk membantu 4,000 penerima faedah menerusi pelbagai lagi program dan bidang baharu.
“Saya menyarankan kepada semua Bumiputera yang berminat untuk memohon, boleh layari laman sesawang https://yayasanpeneraju.com.my/program/peneraju-skil/ atau ikuti kami di laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan LinkedIn @Yayasan Peneraju.