Terkini

Inflasi negara semakin mereda – Rafizi

Kuala Lumpur – Inflasi Malaysia pada Disember 2022 mereda kepada 3.8 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya seperti diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada minggu lalu.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, berkata bagi keseluruhan tahun 2022 pula, inflasi Malaysia adalah 3.3 peratus seperti yang diunjurkan oleh Kementerian Kewangan dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2023.

Beliau berkata, perbandingan bulan ke bulan pula menunjukkan inflasi bagi bulan Disember 2022 mencatatkan peningkatan 0.2 peratus ianya lebih rendah berbanding 0.3 peratus pada November 2022.

“Semua komponen utama Indeks Harga Pengguna (IHP) menyederhana kecuali komponen Restoran & Hotel dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain.

“Peningkatan harga makanan dan minuman di luar rumah, terutamanya di Restoran & Hotel adalah penyumbang utama kepada kadar inflasi,” katanya dalam sidang media penerbitan IHP di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, usaha mengawal inflasi memerlukan kerjasama semua pihak, dari kerajaan, peniaga sehinggalah kepada rakyat.

Beliau berkata, sepertimana disebutkan sebelum ini, kerajaan ingin mengingatkan bahawa pengguna boleh memainkan peranan dalam bersama-sama menyuntik keanjalan di antara permintaan dan bekalan demi mengawal inflasi.

Menurutnya, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah melancarkan OpenDOSM NextGen pada 12 Januari 2023, iaitu platform data yang berkaitan dengan statistik rasmi yang diterbitkan oleh DOSM dan agensi kerajaan lain.

“Platform ini turut mengandungi 28 juta data harga barangan di pelbagai lokasi di seluruh negara daripada aplikasi PriceCatcher yang dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Data PriceCatcher yang diterbitkan merupakan data terkini dengan selang waktu satu hari. Kerajaan mengharapkan penerbitan data ini dapat membantu pengguna membuat pilihan yang lebih tepat.

“Dan seterusnya menjadikan permintaan lebih anjal di samping mengawal kenaikan harga,” katanya.

Rafizi berkata, pelbagai usaha lain juga dilaksanakan untuk mengawal harga di semua restoran dan gerai makanan seluruh negara, namun terdapat cabaran pelaksanaan pemantauan disebabkan kapasiti pegawai penguatkuasa KPDN yang terhad.

“Beberapa agensi kerajaan termasuk Kementerian Ekonomi, KPDN, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang merangka strategi baharu sebagai ‘quick win solution’ kepada isu kos sara hidup.

“Ini akan diumumkan dalam waktu terdekat. Langkah untuk jangka panjang juga sedang diteliti bagi membolehkan jaminan bekalan makanan untuk memenuhi permintaan dan seterusnya membantu mengawal kenaikan harga,” katanya. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: