Kuala Lumpur – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Polis yang ke-216 kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk veteran dan pesara polis.
Menerusi kenyataan di media sosial Istana Negara, Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga PDRM atas khidmat bakti dan jasa yang dicurahkan dalam memikul amanah serta tanggungjawab memelihara keamanan rakyat dan negara.
“Seri Paduka Baginda turut menyanjung tinggi dan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pesara PDRM atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira penat lelah, masa dan situasi.
“Semoga warga PDRM akan terus kental dan bersemangat memberi khidmat demi menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Dalam masa sama, Baginda turut mendoakan agar seluruh warga PDRM dirahmati dan dilindungi Allah SWT daripada segala bentuk ancaman dan musibah.
Al-Sultan Abdullah juga mendoakan para pahlawan negara yang telah terkorban ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan bersama para solihin.
Baginda menyeru rakyat mengamalkan kehidupan yang harmoni, mematuhi undang-undang, bekerjasama dan menjalinkan hubungan erat dengan pasukan polis dalam membanteras sebarang salah laku jenayah dalam komuniti masing-masing.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Sambutan Hari Peringatan Polis Ke-216, pagi ini.
Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ke istiadat perbarisan yang diadakan di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak, adalah kali pertama dalam sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.