Terkini

Agong nasihat umat Islam elak bazir makanan di bulan Ramadan

Kuala Lumpur – Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihati umat Islam agar tidak mensia-siakan pahala puasa di bulan Ramadan dengan melakukan pembaziran makanan. 

Seri Paduka Baginda bertitah ini memandangkan sisa makanan daripada berbuka puasa menjadi penyumbang terbesar kepada tahap pembaziran makanan di bulan Ramadan. 

“Perkara ini bertentangan dengan hakikat Ramadan yang seharusnya menjadi bulan mendidik umat Islam supaya bersederhana dan tidak membazir,” menurut hantaran di laman Facebook Istana Negara hari ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad malam tadi mengumumkan umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok, 23 Mac.

Bersempena ketibaan Ramadan, Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh umat Islam mengaut keberkatan di bulan yang mulia ini dengan meneguhkan lagi ketakwaan dalam diri dan menggandakan ibadah serta amalan. 

Al-Sultan Abdullah juga bertitah dalam bulan yang mulia ini ibadah sunat dan amalan kebajikan harus ditingkatkan, manakala ukhuwah sesama insan perlu diperkukuh di samping meninggalkan segala perbuatan yang sia-sia dan merugikan.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan harapan semoga kehadiran bulan yang mulia ini turut disambut dengan rasa insaf dan syukur atas ujian, rahmat serta nikmat yang dikurniakan Allah.

Seri Paduka Baginda berdua turut mengajak seluruh umat Islam mengambil keberkatan Ramadan untuk bersama mendoakan Malaysia terus dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman serta musibah.

Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

“Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dengan sempurna supaya dapat digolongkan bersama orang-orang yang bertakwa di sisi Allah,” menurut hantaran itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: