oplus_8731492352
PETALING JAYA — Seramai 5,100 penduduk Syria dan pelarian Palestin di Lubnan menerima manfaat menerusi Misi Hayat Syam yang digerakkan Global Hayat dari 3 hingga 13 September lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Global Hayat, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, misi kemanusiaan itu dilaksanakan bagi menyampaikan bantuan fizikal selain memberi sokongan moral kepada masyarakat yang terkesan akibat konflik dan krisis berpanjangan.
Menurut beliau, misi berkenaan melibatkan empat wakil rasmi Global Hayat bersama lapan sukarelawan Malaysia dari United Kingdom (UK) di bawah kempen Haqq Initiative.
Bantuan disalurkan di sembilan lokasi, membabitkan enam kem pelarian di Lubnan iaitu El Buss, Burj Shemali, Rashidieh, Burj Barajneh, Shatila dan Ein El Hilwah.
Turut terlibat ialah tiga lokasi di Syria, masing-masing di Yarmouk, Asali dan Homs.

Antara bentuk bantuan yang diagihkan sepanjang misi berkenaan ialah 600 kotak makanan, 600 set makanan panas serta 200 beg sekolah lengkap dengan kelengkapan persekolahan.
Selain agihan bantuan, Global Hayat turut mengadakan jamuan khas bersama 200 anak yatim Syria dan Palestin.
Sesi ziarah juga diadakan bagi menyantuni 20 anak yatim yang berada di bawah tajaan Global Hayat.
Farhan berkata, rakyat Syria kini sedang berusaha membina semula kehidupan selepas melalui tempoh panjang yang dicemari krisis dan peperangan.
Namun, katanya, keperluan asas masih menjadi antara cabaran utama yang dihadapi masyarakat terbabit.
Keadaan sama turut dirasai pelarian Palestin di Lubnan yang berdepan pelbagai kesukaran dalam meneruskan kehidupan seharian.
Menerusi Misi Hayat Syam, Global Hayat berharap bantuan yang disampaikan bukan sahaja dapat memenuhi sebahagian keperluan asas penerima, malah menjadi tanda keprihatinan masyarakat Malaysia terhadap nasib mereka.
