Kuala Lumpur – Antara keutamaan amalan orang yang berpuasa pada bulan Ramadan adalah membaca al-Quran.
Nabi Muhammad SAW sendiri memperbanyakkan membaca al-Quran dan mengkhatamnya apabila tibanya bulan Ramadan.
Sempena sambutan Nuzul al-Quran dan bulan Ramadan yang mulia , MCPlus mengadakan program Mengaji Marathon secara langsung selama 12 jam tanpa henti bagi mereka yang ingin khatam al-Quran pada bulan mulia ini.

Menurut MCPLUS, program sebegini dilaksanakan bagi memberi peluang kepada mereka yang masih belum bermula atau tertinggal bacaan al-Quran dalam bulan Ramadan.
Inilah masanya untuk mereka mengejar kembali dengan ‘memancing’ 1 hari 1 juzuk. Seterusnya, membolehkan mereka berjaya khatam al-Quran sempena Ramadan.
“Mengikut pengalaman, peserta program ini akan mampu membaca sebanyak 10 hingga 12 juzuk selama 12 jam,” ujar jurucakap MCPLUS lagi.
Menariknya program ini, setiap bacaan al-Quran akan dibaca oleh pelbagai ustaz bertauliah. Dan kali ini, tetamu jemputan Mawi, Qawiy dan Anas Tahir juga bersama-sama membaca al-Quran.
Selain itu, Qari OKU penglihatan, Mohd Taufik Azman turut sama serta mengalunkan bacaan dan taranum. Beliau turut memberi kesedaran berkenaan kebolehan orang kelainan upaya mengalunkan bacaan dan taranum menggunakan Al Quran braille.

Program ini merupakan anjuran kali ketiga. Program ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya menerusi saluran YouTube MCPLUS, di mana mengaji marathon berlangsung dari jam 6.30 pagi dan berakhir sehingga jam 6.30 petang.
“Kami sangat teruja untuk menganjurkan Program Mengaji Marathon 2023 yang akan menjadi platform untuk rakyat Malaysia berkumpul dan mengaji al-Quran bersama secara maya. Acara ini bukan sekadar membaca al-Quran tetapi juga memupuk semangat kemasyarakatan dan kerohanian.
“Apa yang penting, kami di MCPLUS ingin berkongsi inspirasi dengan melihat lebih ramai rakyat malaysia terutamanya anak muda mencintai al-Quran dengan membacanya. la sekali gus dapat melahirkan sebuah generasi yang baik dalam mengukuhkan hubungan mereka dengan Allah,” kata Fathi Hussein, tutor MCPLUS.