Setia Alam – Setiap kali tiba musim perayaan, pasti ramai yang menantikan lagu raya, tidak kiralah yang lama mahupun yang baharu.
Bagi penyanyi, Shiha Zikir, sebagai seorang penghibur sudah semestinya dia juga mempunyai impian untuk merakamkan lagu sempena Hari Raya Aidilfitri.
Tetapi benarlah bak kata pepatah, orang mengantuk disorongkan bantal apabila impiannya terlaksana tahun ini.
Shiha berbesar hati apabila ditawarkan untuk merakamkan lagu raya berjudul Jom Balik Raya dan lebih istimewa berduet dengan kakaknya, Ieda Zikir. Lebih bertuah lagi, penghasilan video lagu raya ini turut mendapat kerjasama dari Yayasan Prihatin Nasional.
Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha murni mana-mana pihak yang sudi berkerjasama dalam apa jua program.

“Shiha Zikir merupakan antara selebriti yang selalu bersama menyokong malah turun padang membantu program kemasyarakatan bersama PRIHATIN, jadi apabila diberitahu beliau akan merakamkan sebuah lagu raya untuk tahun ini, maka kami berbesar hati untuk berkolabrasi bersama beliau.
Ditanya mengenai bentuk kolabrasi yang diketengahkan, Dato’ Mohd Aizuddin menjelaskan ianya adalah penglibatan tenaga kerja, suntingan dan produksi di dalam penghasilan video itu.
“PRIHATIN berkolabrasi dalam bentuk tenaga kerja dan dalam masa sama, kami turut mempromosi yayasan ini sebagai sebuah pihak dalam membantu bukan sahaja para pelajar dan asnaf yang memerlukan tetapi juga kepada masyarakat luar bandar selari tema video lagu raya ini yang mengajak orang ramai pulang beraya ke kampung” jelasnya.
Shiha ketika ditemui turut melahirkan rasa keterujaan apabila ibunya bersetuju muncul di dalam video klip lagu raya ini.
“Alhamdulillah, ibu Shiha akhirnya bersetuju untuk muncul dalam video ini selepas dipujuk beberapa kali, dan ini yang membuatkan saya lebih bersemangat dan gembira ditambah lagi lagu ini juga saya berduet dengan kakak.

“Shiha lagi seronok bila PRIHATIN juga bersetuju membantu dalam penghasilan video klip ini, anda boleh tonton dan dengar lagu Jom Balik Raya ini untuk rasa sendiri semangat tak sabar pulang ke kampung” ujarnya selepas pelancaran lagu dan video klip itu di Majlis Iftar Yayasan Prihatin Nasional bersama media dan rakan strategik di Courtyard, Setia Alam.
Video lagu Jom Balik Raya itu sudah boleh ditonton di youtube rasmi Shiha Zikir Empire dan kini telah mencapai jumlah tontonan 41,000 setakat tengah malam ini.
Turut hadir pada majlis itu, penyanyi No 1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami Datuk Khalid Mohd Jiwa, Tengku Dato’ Kamarul Zaman Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah PRIHATIN, Tan Sri IR. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, Pengerusi KOPENA, Datuk Abdul Malik Abdullah serta rakan-rakan strategik lain.