PUTRAJAYA – Kira-kira 4,000 bekas bubur lambuk yang dimasak di dalam dua belas periuk diagihkan kepada warga kerja Perbendaharaan Malaysia di sini menerusi Program bubur lambuk anjuran syarikat Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd.
Gotong-royong memasak bubur lambuk itu bermula pukul 7 pagi bersekali dengan Program ‘Mawaddah Rahmah Ramadan’ Ramadan anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Program berkenaan mendapat kerjasama Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Jabatan Akauntan Negara dan Persatuan Suri Dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia Jabatan Akauntan Negara (Puspanita JANM).
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, ini kali kedua pihaknya melaksanakan program dengan Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd bagi acara memasak dan mengagihkan bubur lambuk.
“Program sebegini sememangnya harus diteruskan setiap tahun, bukan sahaja untuk memeriahkan sambutan bulan mulia ini namun mampu mengeratkan silaturahim antara kita semua” katanya ketika ditemui di sini.

Hadir sama, Pengurus Jenama, Promosi dan Media Korporat, Roshidi Zabidi dan selebriti, Datuk Fizz Fairuz.