Samsung Galaxy A54 5G menjadi salah satu smartphone Samsung yang ditunggu kehadirannya tahun ini. Ia merupakan keluaran terbaik bagi kelas pertengahan yang mempunyai peminat tersendiri.
Malaysianews TV sekali lagi menjadi pilihan Samsung Malaysia untuk mencuba Galaxy A54 ini sebelum ianya dilancarkan secara rasmi kepada orang ramai.

Apa yang menarik dengan Samsung Galaxy A54
Galaxy A54 secara dasarnya begitu memuaskan, bahkan kemampuannya jauh lebih baik dari Galaxy A53 yang dilancar tahun lalu.
Samsung mengubah reka bentuk Galaxy A54 dari pendahulunya. Baik dari dimensi mahu pun penampilannya.
Samsung juga menggunakan ratio 19,5:9, sebelumnya 20:9m dan membuat ukurannya berubah. rekaannya memang sedikit lebih berat kerana bahagian belakangnya menggunakan material kaca Gorilla Glass 5. Jelas sekali, penggunaan kaca pada bahagian cover belakang membuat penampilan Galaxy A54 jauh lebih premium dari A53.
Kami juga meletakkan klasifikasi Galaxy A54 sebagai ‘Galaxy S23’ versi lebih murah. Ini kerana, Samsung juga menerapkan design kamera yang serupa dengan peranti premium terbarunya itu.

Rekaan Kamera Baharu
Seakan menjadi satu ciri standard kepada Samsung apabila rekaan lensa kamera belakang model Siri A kali ini seakan sama dengan rekaan pada model Samsung Galaxy S23 tanpa sebarang bingkai sebagaimana model A53 terdahulu.
Rekaan luaran semua telefon pintar hampir sama cuma membezakannya adalah spesifikasi yang ditawarkan. Tentu sekali jurutera Samsung sudah melakukan terbaik untuk menghasilkan peranti mampu milik Galaxy A54 ini pada harga bawah RM2,000.

Sistem kamera utama menggabungkan sensor 50MP sudut lebar, 12MP ultra sudut lebar dan 5MP makro. Hanya lensa 50MP dilengkapi dengan sistem OIS. Sementara itu di bahagian hadapan sensor 32MP digunakan dengan ia diletakkan dalam lubang kamera pada skrin.
Dari sudut audio pula, terdapat sokongan stereo dan juga sistem audio Dolby Atmos. Sebuah lagi speaker diletakkan pada bahagian gagang telinga. Seperkara lain yang menarik pada A54 ialah ia melepasi piawaian kalis air serta debu IP67. Tidak sebaik IP68 pada S23 tetapi adalah cukup baik untuk sebuah peranti kelas pertengahan kerana boleh dicelup di dalam air selama beberapa minit.
Berikut ialah beberapa gambar yang sempat kami ambil menggunakan kamera utama 50MP sudut lebar, 12MP ultra sudut lebar, 5MP makro dan kamera swafoto 32MP. Lensa sudut lebar 50MP dilengkapi sistem OIS. Dari segi prestasi, kamera boleh melakukan rakaman video sehingga resolusi 4K 30FPS. Terdapat ciri Makro, AR, Potret, Panorama, Pro Video, Pro dan Hyperlapse. Mod Nightography untuk mengambil gambar pada waktu malam turut boleh digunakan.

Tiada perbezaan warna apabila bertukar dari lensa sudut lebar ke ultra sudut lebar. Mengejutkan kerana pada S23 Ultra terdapat perbezaan warna yang ketara. Kami menyedari masa diambil untuk bertukar antara lensa dan zum adalah tidak begitu pantas. Ini adalah isu pada peranti kelas pertengahan Android. Jika kepantasan yang anda cari, belilah sebuah peranti mercu.
Kamera menyokong mod zum digital sehingga 10 kali sahaja. Di bawah ialah sampel gambar yang diambil pada tetapan 1X, 2X, 4X dan 10X.
Selain itu, hayat bateri peranti ini sebesar 5000 mAh juga menjangkaui tempoh penggunaan lebih daripada dua hari.
Skrin sentuhan terbaik
Skrin 6.4″ adalah dari keluarga Super AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz. Namun begitu ia bukan dari keluarga LTPO. Pengguna diberikan pilihan kadar segar semula Adaptive 120Hz sepanjang masa atau Standard 60Hz. Dari segi saiz ia lebih besar berbanding S23 (6.1″) dan S23+ (6.6″). Skrin memaparkan imej yang tajam, tatalan yang sangat lancar serta mengesan setiap sentuhan dengan baik. Seperti lazimnya, skrin SAMOLED memaparkan warna yang cukup hidup dan boleh digunakan di bawah cahaya matahari yang terang.
Menurut Samsung, keterangan skrin boleh mencecah 1000 nits. Tidak setinggi 1750 nits pada siri S23 Ultra tetapi ia masih lebih tinggi berbanding skrin biasa. Kandungan HDR boleh ditonton tetapi pada waktu ini terhad kepada YouTube dan Prime sahaja. Tiada sokongan rasmi untuk Netflix pada waktu ini. Bagi kami ini adalah mengecewakan kerana banyak peranti kelas pertengahan lain seperti daripada Xiaomi boleh menyokong HDR pada Netflix.

Bezel adalah agak tebal tetapi tidak mengganggu dengan ianya sekata pada keempat-empat sudut. Kami cukup sukakan skrin rata yang digunakan kerana ia tidak mengganggu tontonan video atau menggunakan aplikasi lain.
Terdapat sebuah pengimbas cap jari dari jenis optikal terbina di bawah skrin. Lokasinya ergonomik dan mudah untuk diakses walaupun peranti digunakan sebelah tangan. Pengimbas ini pantas mengesan cap jari dan sepanjang penggunaan selama beberapa hari tidak pernah lagi gagal berfungsi. Sokongan imbasan wajah juga boleh digunakan sekiranya pengguna ingin sistem biometri yang lain.
Bagi mereka yang mempunyai masalah rabun warna, skrin ini boleh ditala supaya mereka boleh memaparkan warna yang tidak boleh dilihat dengan mudah. Di dalam tetapan Colour Correction, terdapat mod untuk rabun warna Deutan, Protan, Tritan dan Greyscale.
Penggunaan dan Perisian
Sistem operasi One UI 5.1 digunakan pada dengan ia berasaskan Android 13. Ini ialah versi terkini One UI yang turut digunakan pada siri S23. Dari segi ciri tiada perbezaan yang ketara dapat dilihat pada A54 dan S23. Kerana ia berasaskan Android 13, terdapat ciri mengubah warna tema antaramuka secara automatik berdasarkan imej latar belakang yang digunakan. Turut disertakan ialah kustomasi skrin kunci yang lebih menyeluruh.

Sepanjang tempoh ulasan kami aktifkan mod RAM Plus dengan tetapan 4GB menjadikan peranti mempunyai 10GB RAM sepanjang masa. Peranti beroperasi dengan cukup lancar dengan aplikasi dapat dilancarkan dengan pantas. Walaupun cip Exynos 1380 masih lagi baharu, kami tidak mengalami sebarang isu aplikasi utama tidak disokong. Maka tidak perlu risau aplikasi tidak boleh dipasang seperti yang wujud pada sesetengah peranti dengan cip MediaTek.
Tatalan terasa lancar kerana skrin 120Hz. Tiada isu animasi nampak perlahan dan tiada juga sebarang masalah pemanasan setakat ini. Boleh kami katakan setakat ini A54 beroperasi dengan lebih lancar berbanding Galaxy A73 5G yang kami ulas tahun lalu yang dilengkapi cip Snapdragon 778G.

Pengalaman penggunaan adalah mirip dengan S23 Ultra yang mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi serta mercu. Bagi mereka yang mencari peranti yang boleh digunakan untuk masa yang lama, A54 disahkan menerima kemas kini empat versi Android dan tampalan sekuriti selama lima tahun.
Samsung Galaxy A54 adalah berbaloi kerana dijual pada harga RM1899 yang masih mampu milik. Dalam kelas yang sama Honor 70 5G (RM1999) dan Nothing Phone (1) (RM2399) dijual pada harga lebih tinggi. Didatangkan dalam empat warna menarik iaitu Awesome Peach, Awesome Blue, Awesome Black dan Awesome White.