Samsung akhirnya mengemaskini barisan Galaxy A dengan beberapa produk baharu. Ini termasuklah pengenalan untuk Samsung Galaxy A34 5G yang menjadi model kesinambungan untuk Galaxy A33 5G sebelum ini.
Malaysianews TV diberi peluang untuk menguji kehebatan Samsung Galaxy A34 dan ini adalah reaksi pertama sebelum dilancarkan secara rasmi kepada umum.

Dengan reka bentuk serba baharu, paparan lebih terang, perkakasan dalaman dinaik-taraf dan pengalaman perisian terkini, Samsung nampaknya cuba memuatkan pelbagai hal yang menarik pada siri Galaxy A mereka pada tahun ini.
Rekaan yang dinamik
Jika diteliti pada rekaan Galaxy A34 5G, ia amat mirip dengan sebuah Galaxy S23 Ultra khususnya di bahagian belakang.
Pada generasi sebelum bonggol kamera Contour Cut digunakan tetapi kini Galaxy A34 5G mengetengahkan rekaan Floating Camera. Rekaan seperti ini amat menarik perhatian kerana tiada lagi bonggol kamera besar digunakan. Sebaliknya Galaxy A34 5G mempunyai sistem tri-kamera disusun menegak dan terkeluar daripada tubuh namun tidaklah sehingga menyukarkannya diletakkan di atas permukaan meja secara rata.

Seterusnya binaan tubuh polikarbonat berkotak dan skrin rata digunakan pada peranti. Ini dipadankan pula dengan bingkai logam pada bahagian sisi membulat yang membuatkan peranti terasa selesa dan kemas di dalam tangan. Selanjutnya kemasan pusam yang mendominasi bahagian belakang peranti juga menjadikan pengalaman penggunaan jauh lebih praktikal. Ia bukan sahaja membuatkan peranti tidak terlalu licin sewaktu dipegang, malahan mampu mengelakkan isu panel belakang peranti dipenuhi dengan kotoran cap jari dan peluh.
Namun begitu secara peribadi, saya lebih menyukai rekaan dan kemasan pada Galaxy A52 dan A52s sebelum ini yang dirasakan lebih premium. Namun itu tidak bermakna generasi baharu ini langsung tidak menarik. Masih menarik dan selesa dipegang tetapi sedikit tebal serta berat berbanding sebelum ini.
Skrin sebesar 6.6-inci digunakan adalah lebih besar berbanding 6.4-inci pada pendahulunya iaitu Galaxy A33 5G. Penambahbaikan paling ketara lain yang turut boleh ditemui pada skrin peranti ialah sokongan kadar segar semula dipertingkatkan menjadi 120Hz. Kemudian Samsung turut meningkatkan tahap kecerahan skrin sehingga 1000nits untuk prestasi skrin cukup baik digunakan di bawah cahaya matahari terik. Ini kombinasi yang menarik apabila turut dipadankan dengan penggunaan panel dari keluarga Super AMOLED berteknologi FHD+.

Bagaimanapun persoalan mula timbul apabila Samsung didapati menggunakan skrin lebih besar pada peranti ini berbanding Galaxy A54 yang bersaiz 6.4-inci. Kebiasaannya kita melihat mana-mana peranti dengan nombor model lebih besar sudah semestinya mempunyai saiz skrin yang besar, bukan? Tetapi berlainan pula dengan konsep yang digunakan oleh Samsung untuk kali ini.
Sebagai pengguna sepatutnya mampu serta bijak memilih peranti yang terbaik selari dengan keperluan. Sekiranya anda memilih untuk memiliki peranti dengan skrin lebih besar, maka Galaxy A33 5G ada kelebihan tersebut.
Galaxy A34 5G pula agak retro dengan skrin bertakuk kecil dengan kamera swafoto 13MP. Kewujudan saiz bezel yang agak tebal turut boleh disedari untuk kali ini yang bukan sahaja di bahagian dagu, tetapi juga pada ketiga-tiga sisi peranti.

Bergerak ke bahagian atas, terdapatnya satu lubang mikrofon dan slot SIM yang menyokong dwi-SIM nano dan kad mikroSD sehingga 1TB. Port pengecasan USB-C dan satu kekisi untuk pembesar suara diletakkan pada bahagian bawah tanpa sokongan bicu audio 3.5mm.
Bukan satu hal yang mengejutkan malahan fungsi tersebut telah dibuang oleh Samsung daripada peranti Galaxy A sejak tahun lalu. Namun Samsung memberi nilai tambah lain menerusi penarafan kalis air dan debu IP67 terbina, sepasang pembesar suara stereo yang lengkap dengan sistem audio Dolby Atmos dan bateri besar 5,000mAh yang menyokong sistem 25W.

Teknologi kamera terbaik
Peranti ini dilengkapi tri-kamera dengan sensor 48MP (sudut lebar) dengan OIS + 8MP (ultra-sudut lebar) + 5MP (makro). Ini dipadankan pula dengan kamera swafoto tunggal sebesar 13MP. Ura-ura sebelum ini yang mengatakan Samsung bakal membuang sensor kedalaman pada siri Galaxy A baharu. Nampaknya benar-benar berlaku apabila sensor tersebut tidak disertakan pada Galaxy A34 5G mahupun Galaxy A54 5G. Peranti juga membenarkan pengguna merakam video sehingga UHD 4K (3840 x 2160)/30fps dengan ciri penstabilan terbina, di samping kebolehan zum digital mencapai 10X.
Peranti ini menawarkan pakej kamera yang lebih baik sekali gus menghasilkan imej yang menakjubkan dengan kualiti yang dipertingkatkan, dengan menggunakan keupayaan Nightography dan AI terkemuka Samsung Galaxy.

Sama ada untuk rakaman swafoto yang sempurna atau bersambung melalui panggilan video yang tersangat lancar, Galaxy A34 menawarkan perincian visual yang menakjubkan menerusi kamera hadapan 16MP.
Turut disertakan adalah mod-mod kamera terbina yang terdiri dengan Fun, Portrait, Photo, Video dan More. Kamera juga menyokong AI dan HDR terbina bagi membolehkan gambar diambil dengan imbangan cahaya yang baik. Pilihan tangkapan gambar dan video pula boleh diambil pada nisbah 1:1, 3:4, 9:16 dan penuh. Tetapi tangkapan dengan mod 48MP pula hanya tersedia dengan nisbah 4:3.
Buat julung kalinya, untuk peranti dalam siri Galaxy A, pengguna juga boleh menghapuskan bayang-bayang dan pantulan yang tidak diingini dalam rakaman dengan menggunakan alat penyunting imej (object Eraser) yang dipertingkatkan.
Spesifikasi
Samsung Galaxy A34 5G hadir dengan skrin bersaiz 6.6 inci Super AMOLED FHD+ (1080 x 2340) dan kadar segar semula 120 Hz.
Kapasiti storan adalah yang terbesar diberikan iaitu 256GB dan turut disediakan kemudahan untuk tambahan slot kad storan sehingga 1TB.
Untuk spesifikasi dalaman, Samsung Galaxy A54 menggunakan cip pemprosesan lapan teras MediaTek Dimensity 1080. Ia merupakan cip berteknologi 6nm dengan konfigurasi dua teras Cortex-78, enam teras Cortex-A55 dan GPU GPU Arm Mali-G68.

Samsung turut memberi nilai tambah pada peranti ini menerusi penarafan kalis air dan debu IP67 terbina.
Samsung Galaxy A34 5G yang baru diperkenalkan di pasaran negara ini ditawarkan pada harga RM1,599 untuk 8GB RAM/256GB storan dalam empat warna menarik iaitu Awesome Lime, Awesome Silver, Awesome Violet dan Awesome Graphite.