Bisnes

Khazanah diberi penarafan A3/A- oleh Agensi Penarafan Kredit Antarabangsa Moody’s dan S&P

Kuala Lumpur – Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) telah diberikan penarafan kredit penerbit pertamanya iaitu A3 dan A-, masing-masing daripada Moody’s Investors Service dan S&P Global Ratings. Penarafan kredit gred pelaburan tersebut mencerminkan keupayaan Khazanah yang kukuh bagi memenuhi komitmen kewangannya walaupun terdedah kepada keadaan ekonomi yang amat mencabar.

Sejak 2004, Khazanah telah menjadi penerbit tetap dalam pasaran modal global dan menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab terkemuka bagi Kewangan Islam melalui urus niaga yang menjadi mercu tanda termasuk Sukuk boleh tukar (exchangeable Sukuk) pertama dunia dan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab pertama negara. Memandangkan Khazanah tidak menerima kemasukan modal biasa, ia bergantung pada keupayaannya untuk menjana pulangan dan memanfaatkan pasaran modal untuk membiayai pelaburannya.

Secara kebiasaannya, Khazanah menikmati akses kepada pasaran modal, malah berjaya menetapkan harga sukuk tidak dinilai taraf semasa kemuncak pandemik Covid-19. Permintaan pelabur yang kukuh meskipun aliran pasaran yang menurun mencerminkan keyakinan terhadap kredit Khazanah dan keupayaannya untuk menyampaikan mandatnya sebagai dana kekayaan negara Malaysia. Penarafan kredit antarabangsa ini akan meningkatkan lagi daya tarikan Khazanah sebagai penerbit dan mengembangkan pangkalan pelabur globalnya.

Berdasarkan analisis Moody’s dan S&P, penarafan A3/A- Khazanah disokong oleh hubungan kukuhnya dengan Kerajaan Malaysia, kepentingan Khazanah dalam aset-aset strategik Malaysia merentas sektor-sektor utama, dan peranannya dalam menyokong dan melaksanakan objektif sosioekonomi kerajaan. Moody’s juga menyatakan keupayaan Khazanah untuk memanfaatkan pendanaan luaran, rekod prestasi dalam amalan dan dasar kewangan konservatif, dan komitmen untuk beroperasi dalam tahap keumpilan yang disasarkan yang dinyatakan secara umum.

Kekuatan kredit ‘standalone’ Khazanah disederhanakan oleh penumpuan geografi tinggi portfolionya di Malaysia dan kerentanan terhadap turun naik pasaran yang menyebabkan turun naik dalam nilai portfolionya. Khazanah dijangka terus mengimbangi semula portfolionya untuk mempelbagaikan pelaburannya dan mengurangkan pendedahan kepada risiko penumpuan.

Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, “Kami gembira diberikan penarafan penerbit yang mempamerkan ketahanan kewangan kami. Tumpuan kami kekal pada pengimbangan semula portfolio dan mencipta nilai untuk pegangan- pegangan kami. Kami menjangkakan pergolakan pasaran akan terus berlaku, tetapi Khazanah adalah pelabur jangka Panjang yang berdaya tahan terhadap turun naik jangka pendek. Menyelesaikan peralihan portfolio dan mengurangkan hutang secara sistematik adalah penting dalam memastikan Khazanah kukuh dari segi kewangan dan memenuhi mandatnya untuk Memajukan Malaysia”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: