WhatsApp-Image-2022-12-09-at-16.59.32

Kuala Lumpur – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Md Nasir Ibrahim, menyifatkan dirinya ibarat dizalimi ekoran agensi itu menamatkan kontraknya serta-merta semalam.

Notis yang berkuat kuasa hari ini, kata Md Nasir, adalah amat memeranjatkan memandangkan dia tidak dimaklumkan terlebih dulu berhubung sebarang masalah yang timbul di agensi terbabit.

Sepatutnya kata Md Nasir dia dimaklumkan terlebih dulu jika wujud sebarang masalah dan diberi peluang untuk membela diri atau sekurang-kurangnya menjelaskan keadaan.

“Jadi, saya anggap dizalimi kerana sebagai individu yang diberi tugas sebagai CEO, sekiranya timbul perkara tak dipersetujui, mereka wajar panggil dan maklumkan jika tak puas hati dengan mana-mana isu.

“Dalam diberi tugas sebagai eksekutif, harus ada ruang untuk saya perbaiki kelemahan,” katanya pada sidang media khas bagi menjelaskan isu tersebut di sebuah hotel di Ampang hari ini.

Md Nasir berkata, sidang media tersebut juga diadakan untuk membersihkan namanya daripada sebarang persepsi negatif berhubung penamatan kontrak yang sepatutnya tamat 30 Okt ini.

“Pertama, saya nak maklumkan penamatan kontrak bukan disebabkan terdapat salah laku… rekod saya bersih. Juga tak ada laporan polis dibuat sebaliknya pemecatan atas budi bicara menteri.

“Setakat ini, ratusan mesej yang dikirimkan juga tak ada buruk sangka kerana penggiat industri tahu cara kerja saya,” katanya.

Ahli akademik itu juga menganggap pihak yang tidak bertanya khabar selepas tahu dia ditamatkan perkhidmatan mungkin dipengaruhi pihak tertentu.

Dia juga membayangkan ada pihak yang tidak senang dengan keberadaannya di Finas selama ini.

“Yang tak hubungi mungkin mereka percaya pada tohmahan. Apa pun, Allah tahu apa saya buat, teruskan memfitnah kalau niat mereka untuk jatuhkan saya,” katanya.

Md Nasir memulakan perkhidmatan di Finas pada 1 Nov 2021 dan diberikan kontrak selama dua tahun.

Namun, kira-kira jam 4.30 petang semalam dia menerima surat memaklumkan penamatan perkhidmatan daripada Pengerusi Finas, Kamil Othman.

Ditanya mengenai hubungannya dengan ahli lembaga Finas yang lain, Md Nasir berkata, ia berlangsung dalam keadaan baik dan perbincangan biasanya dibuat secara profesional.

“Sepanjang pengetahuan saya, tak ada orang yang tak berpuas hati.

“Kami juga berbincang secara terbuka, cuma kita tak boleh memaksa orang untuk terima pandangan kita,” katanya.

Pada masa sama Md Nasir secara peribadi tidak menolak kemungkinan wujud unsur kronisme dalam pentadbiran Finas yang kurang bersetuju dengan pendiriannya dan memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama.

Bapa aktres Anzalna itu menambah, apa yang berlaku itu tidak baik untuk sesebuah organisasi.

“Kalau kita menegur, mereka susah nak terima. Contohnya saya buat serbuan terhadap mereka yang masih makan di kafe pada jam 9 pagi sedangkan waktu itu mereka sepatutnya bekerja.

“Apabila kita bertegas, ia jadi masalah.

“Saya juga bertegas dalam isu kerja lebih masa (over time). Saya mahu pekerja berkhidmat mengikut waktu yang optimum,” katanya.

“Soal campur tangan politik, pasti ada. Kalau tak, takkan kontrak saya ditamatkan dalam tempoh 24 jam.

“Saya juga terima tekanan apabila mengumumkan syarikat yang menerima dana untuk diambil tindakan,” katanya.

Bercakap tentang perancangan peribadi, Md Nasir berkata dia mahu berehat seketika namun masih terbuka untuk bekerjasama dalam pembangunan industri filem tempatan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading