Bangi – Perubahan zaman dan teknologi semasa memerlukan satu pendekatan holistik yang baharu dalam menyemai semangat patriotik dalam kalangan anak muda di negara ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul menegaskan program Biro Tata Negara (BTN) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) wajar dilaksanakan kembali bagi membentuk anak muda berkepimpinan dan terdedah dengan nilai lebih universal.
Jelasnya, golongan muda yang kini lebih berfikiran global memerlukan perubahan besar dalam pendekatan pembudayaan sikap dan nilai.

“BTN dan PLKN perlu diteruskan kembali untuk kita lahirkan generasi yang memiliki sifat leadership yang baik dan berpolitik sihat.
“ilmu dan kemahiran berpolitik itu penting dan perlu disemai kepada golongan belia tetapi haruslah berpolitik dengan baik dan bukanlah politik kepartian” katanya.
Jelasnya, satu kaedah yang bersesuaian dengan generasi-Z hari ini perlu difikirkan sebagai modul untuk memastikan metadologi program ini berada pada hala tuju yang sebenar.
“Saya menyokong dua program ini dikembalikan dan akan usulkan untuk dibincangkan” tambahnya.
Selain itu, Johari turut memaklumkan satu program latihan praktikal (internship) di Parlimen bakal diperkenalkan kepada mahasiswa institut pengajian tinggi bertujuan melahirkan graduan terlatih pengetahuan, pengalaman dan kemahiran, serta tunjuk ajar dan bimbingan dalam kerja sebenar di parlimen.
“Program internship ini telah dibincangkan namun saya perlu perincikan jumlah, bidang pelajaran dan modul yang sesuai untuk mahasiswa terlibat.
“Internship ini sangat perlu dan dilihat satu keputusan yang baik bagi mendedahkan mahasiswa bagaimana suasana dan gerak kerja yang betul di parlimen, mereka ini wajar dilatih untuk memastikan kita mampu melahirkan pemimpin negara, secara tidak langsung memperoleh pengalaman dalam perkhidmatan awam” tambahnya lagi.

Beliau ditemui dalam majlis Program Jelajah Ikon Madani Peringkat Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan bersama Yang Di-Pertua Dewan Rakyat di Dewan Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pada majlis itu, turut diserahkan bantuan awal pendidikan kepada 4,000 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) membabitkan bantuan tunai, komputer riba dan beg keperluan asas dan bantuan cermin mata.
Bantuan kepada para pelajar ini adalah kerjasama dengan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Dato Mohd Aizuddin Mohd Ghazali, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Sri Ir. Dr. Sahol Hamid bin Abu Bakar (Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Prihatin), Mohd Nizam Yahya (Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP) dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ,Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekwan Hj Toriman.

Majlis diserikan lagi dengan program Bual Bicara bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
