Kuala Lumpur – Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha pada 28 Jun ini, stesen televisyen TV AlHijrah membawakan seleksi program menarik untuk penonton setianya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, kempen Aidiladha di TV AlHijrah sudah bermula sejak 1 Jun lalu dengan menyediakan wadah pengisian mengambil kira keperluan untuk terus berubah sesuai dengan kehendak penonton.
“Kempen Aidiladha 1444h kali ini akan menggunakan tema Jemputan Haji. Antara pengisian program kami mendorong dakwah secara santai bagi membuka peluang yang sangat besar ini untuk mendekati masyarakat melalui siaran rancangan yang sudah pun dirangka khas menepati usaha menerapkan tarbiah fitrah kepada penonton sasaran.
“TV AlHijrah juga sedang mengorak langkah mencapai penonton di luar bidang supaya dakwah yang disampaikan mencapai kepada penonton yang berbeza strata dan latar” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Aidiladha Jemputan Haji di Hotel Tamu & Suites Kuala Lumpur petang tadi.

Jelasnya, usaha dakwah ini perlu mengguna pakai segala kaedah dan teknologi yang sesuai dan terkini supaya kerja-kerja dakwah tidak ketinggalan. Untuk memanfaatkan kaedah terbaharu dalam berdakwah pula para pendakwah pula seharusnya terlebih dahulu membuat persediaan pengisian jiwa dan minda dengan ilmu dakwah yang mantap dan cekap.
Beliau turut menambah, dalam usaha dakwah melalui program TV dan media sosial terkini, TV AlHijrah juga tidak ketinggalan memanfaatkan platform interaktif yang lebih dekat kepada masyarakat masa kini seperti TikTok, di mana suatu rundingan telah dilakukan bersama sebagai rakan sinergi saluran kandungan berkonsepkan Islam.
Ini bagi memperluaskan sasaran dakwah kepada golongan muda yang lebih cenderung kepada pelbagai bahan tontonan di media sosial berbanding televisyen yang menjadi pilihan golongan lebih berusia.
“Usaha yang disepakati bersama TikTok ini akan menjadi satu jaringan yang memacu kedua-duanya menyediakan maklumat dan rancangan kepada penonton sasaran, sekaligus dapat memacu penjenamaan TV AlHijrah serta memenuhi kehendak penonton dari golongan ini memahami ibadah haji.
“Usaha ini akan menjadikan TV AlHijrah terus kekal relevan (dalam dakwah),” ujar Namanzee.
Walaupun di Malaysia mempunyai banyak stesen televisyen yang padat pelbagai rancangan untuk setiap lapisan masyarakat, hakikatnya masyarakat masih ketandusan program yang bukan sahaja bercorak agama tetapi menggali pemikiran dan falsafah hidup Islam dalam memberi saranan terhadap gaya hidup pada masa kini.

“Di sinilah TV AlHijrah mampu kekal relevan sebagai media dakwah yang unggul dan berdaya saing kerana pengaruh besar budaya menonton televisyen dan kandungannya dialih dari menepati budaya pop pada nilai-nilai Islam. Sebarang kerjasama untuk variasi pelantar dakwah pula sentiasa dijalinkan supaya usaha dakwah secara santai dan kontemporari dapat diteruskan kepada sasaran berbeza.
“Ini dapat dilihat dari usaha kami menghasilkan TV AlHijrah Plus dimana setiap pengisian program keagamaan sesuai semua peringkat umur dan dapat dilayari hanya dihujung jari dimana-mana sahaja” tambahnya lagi.
TV AlHijrah juga tidak ketinggalan dalam pengunaan teknologi terkini seperti penglibatan kecerdasan buatan (AI) yang seharusnya menjadi nilai tambah kepada keberkesanan penyebaran dakwah kepada seluruh masyarakat.
Dengan kemahiran menilai sesuatu fenomena dan sebab akibat sesuatu ledakan teknlogi kepada kemaslahatan ummah, stesyen ini tidak mustahil menjadi pemandu hub rujukan kandungan kepada media lain dalam menghadapi cabaran dan revolusi industri keempat yang semakin pesat.
Antara peranan dan langkah prokatif TV AlHijrah untuk memastikan stesyen ini mahupun masyarakat tidak melanggar prinsip-prinsip agama dalam bereksperimen dengan teknologi ini ialah dengan mewujudkan garis panduan dan etika Islam dalam penggunaan teknologi kecerdasan buatan.
TV AlHijrah yang bakal menyambut ulang tahun penubuhannya pada Julai nanti, dijangka mampu terus menjadi saluran pilihan masyarakat sarat wadah ilmu yang menepati syariat.
