837e0679-a06c-4657-8979-32d7d91e1680

Kuala Lumpur – Anak Allahyarham Ridzuan Hashim, Muhammad Dhanial menyifatkan tawaran tajaan majlis perkahwinanya adalah satu rezeki yang tidak disangka-sangka. Bakal meraikan majlis resepsi perkahwinan September depan, beliau yakin rezeki tajaan ini adalah kerana menjaga arwah bapanya sepanjang arwah tidak sihat sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Didie Alias atau nama sebenarnya, Nur Fadzilah Ali, 52, melahirkan rasa syukur apabila pihak Temu Jelatek The Event Space memberitahu ingin menaja perkahwinan anaknya dengan jumlah tajaan keseluruhan mencapai RM500,000.

“Sebagai ibu, saya rasa teruja dan amat bersyukur bila ada pihak yang sudi menaja perkahwinan anak saya di dewan yang gah ini.

“Saya bercadang untuk berarak pengantin dari stesen LRT Setiawangsa menuju ke stesen Jelatek dan terus menuju ke dewan Temu Jelatek, secara langsung kami dapat mempromosikan kepada orang ramai bahawa lokasi dewan ini mudah diakses dengan pengangkutan awam” katanya dalam sidang media selepas pelancaran disini petang tadi.

Tambahnya, anaknya terjumpa sepasang sut yang masih elok sewaktu mereka berkunjung ke kediaman sewa arwah Ridzuan untuk mengemas barangan peribadi pelakon terbabit baru-baru ini.

“Sewaktu Dhanial cuba pakai satu sut arwah bapanya, kebetulan muat dan tak perlu buat penambahbaikan besar, cuma pada seluar yang harus dipotong disebabkan bapanya tinggi.

“Jadi, dia ambil keputusan untuk menggayakan pakaian berkenaan pada majlis resepsinya di Kuala Lumpur nanti,” ujarnya lagi.

Dhanial selamat bergelar suami kepada Nurkhairunisa pada 20 Mei lalu di Tawau, Sabah.

Terdahulu, Allahyarham Ridzuan yang juga pelakon popular meninggal dunia akibat serangan jantung pada 4 Mei lalu iaitu kira-kira dua minggu sebelum pernikahan Dhanial.

Selain Dhanial, 29, perkahwinan Ridzuan dan Didie pada 1991 sebelum bercerai 2002, dikurniakan empat cahaya mata lain.

Ketua Pegawai Eksekutif SACC Convec Sdn Bhd, Nor Azlina Amran turut mengumumkan berita baik bagi bakal pengantin atau pengurus perkahwinan yang ingin menempah dewan Temu Jelatek akan menikmati diskaun promosi sebanyak 20% sehingga 31 Disember ini dengan deposit sebanyak 10% sekiranya tempahan dilakukan dari 1 Januari 2024 sehingga 30 Jun 2024.

Selain itu, pakej terlajak murah diberikan serendah RM39 dengan pakej penuh termasuk dekorasi luar dan dalam, makanan yang dimasak oleh Chef berpengalaman, pelamin, rostrum, PA system, karpet merah, kek perkahwinan, meja pendaftaran, cenderahati serta skrin LED untuk paparan video dan gambar.

Jelasnya lagi, Temu bakal melebarkan sayap membuka 10 buah dewan di lokasi berbeza khususnya di Selangor dan dijangka dibuka di Bangi pada tahun 2025 yang mampu memuatkan sehingga 1000 tetamu pada satu masa.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading