Kuala Lumpur – Memasang impian memiliki program televisyen sendiri merupakan motivasi untuk terus berjaya dalam bidang masakan yang diminatinya. Minat itu membakar semangat untuk merealisasikannya menjadi realiti.
Pempengaruh masakan, Nur Hayati Zainol Abidin, 46, atau mesra disapa Kak Yatie yang cukup terkenal melalui platform instagram Yatie Kitchen berkata, beliau mengimpikan sebuah program masakan dengan konsep ‘Chef To Go‘ yang akan bersiaran diluar samada memasak di kawasan perkampungan mahupun kediaman para pengikutnya.

“Saya mempunyai impian memiliki program TV sendiri dimana saya akan memasak di kampung ataupun kediaman para followers yang telah lama memberi sokongan sepanjang penglibatan dalam bidang ini.
“Ini adalah tanda bagaimana saya menghargai mereka dan ia sebagai program masakan dengan konsep yang baru” katanya.
Anak kelahiran Muar, Johor ini juga terbuka jika ada mana-mana pihak yang ingin bersamanya menjayakan program itu.
“Sebagai duta produk Adabi, saya akan berbincang dengan mereka dan jika dipersetujui, program ini mampu dihasilkan dengan kerjasama dua belah pihak ” jelasnya lagi.
Beliau yang ditemui ketika majlis pra pelancaran 5 buah buku resepinya, memaklumkan buku-buku tersebut dihasilkan dari perkongsiannya di laman instagram dan diterjemahkan dalam bentuk naskah cetakan.
“Saya terfikir, andainya satu hari nanti laman sosial ini ditutup sama seperti laman sosial yang lain, bagaimana para followers dan saya sendiri ingin melihat semula resepi-resepi yang dikongsi sebelum ini.

“Oleh itu, saya hasilkan buku resepi ini bagi memudahkan orang ramai merujuk kembali ke semua perkongsian saya” ujarnya.
Tambahnya, beliau berkongsi apa yang diketahuinya kerana mahu menurunkan ilmu itu untuk wanita yang tidak arif dalam hal masakan.
Perjuangannya bermula dari tahun 2018, dimana Buku Resipi Edisi pertama diterbitkan. Kemudian diikuti Edisi 2 (2019), Edisi 3 (2020), Edisi 4 (2021) dan Edisi 5 (2022).
“Saya tahu bukan semua orang pandai masak. Segelintirnya berkeinginan nak masuk kelas masakan semata-mata nak belajar masak meskipun tak berkemampuan.
“Melalui medium ini, saya harap ia menjadi medan kepada wanita di luar sana belajar memasak. Bagi memudahkan mereka mempelajarinya, saya kongsinya cara asas yang mudah dan ringkas,” katanya.
Kak Yatie turut berkongsi pada tahun 2013 diawal perkongsian berkenaan masakan, beliau hanya memiliki 30 pengikut sahaja dan kini selepas 10 tahun telah berjaya meraih hampir 1 Juta pengikut dan ada diantaranya di kalangan selebriti dan golongan VIP.
Ibu kepada tiga cahaya mata dan bekerja dalam bidang pengurusan itu juga memaklumkan kesemua buku-buku resepinya mendapat jualan tertinggi sehingga 20 ribu naskah cetakan dan turut menerima permintaan tinggi untuk ulang cetak.

“Macam mana saya masak dan makan masakan saya, macam itulah saya mahu follower-follower saya merasai benda yang sama, saya pastikan apa yang saya kongsi dan tulis difahami, jelas dan mudah diikuti supaya hasilnya sama.
“Tiada “rahsia” di setiap perkongsian kerana bagi saya ilmu yang Allah kurniakan adalah ilmu yang tidak boleh dijual beli dan ilmu itu tidak kita bawa ke sana.
“Ramai yang minta saya untuk reprint buku-buku ini dan insyaAllah akan dipertimbangkan untuk kesemua pengikut saya” tambahnya lagi.
Sesungguhnya minat Kak Yatie dalam bidang masakan tidak terbatas, walaupun dirinya mempunyai kerjaya tetap tetapi memasak adalah “jiwa”. Malahan beliau akui suka memasak sejak berusia 10 tahun lagi.
“Saya percaya selagi ilmu yang kita kongsikan diguna pakai selagi itulah pahala mereka dapat seperti air sungai yang mengalir. Insyallah, mak dan abah adalah idola saya dalam bidang masakan,” ceritanya panjang lebar.

Mengakui di sebalik populariti yang dikecapinya, kadang-kadang timbul juga komen dan kecaman dari pengikut atau netizen. Tetapi dirinya bersyukur masih mampu mengawal situasi yang berlaku.
Antara pencapaian yang menjadi pembakar semangatnya sehingga kini antaranya; setiap edisi buku resipi YatieKitchen terjual lebih daripada 20,000 nashkah, beliau juga berjaya mendapatkan Hak Intelek ( Copyrights ) untuk branding YatieKitchen dan turut dilantik sebagai Duta Adabi , La Gourmet Since 2018 & Love Earth 2021.
