Kuala Lumpur – Bersempena sambutan Hari Bangunan Pencakar Langit Sedunia, sebuah acara pertunjukan fesyen yang berkemungkinan mencipta rekod tersendiri akan diadakan pada 9 September 2023 bertempat di
Sky Deck dengan ketinggian lebih kurang 300m dari permukaan bumi, di Menara Kuala Lumpur (Menara KL). Sehingga kini, Menara KL masih lagi pemegang rekod sebagai menara komunikasi tertinggi di Asia Tenggara dan ketujuh tertinggi di dunia.
Acara yang pertama kali diadakan tersebut dinamakan Tower Fashion Eleganza Kuala Lumpur 2023 (TFEKL23), dan bakal menyaksikan kehebatan karya fesyen dari 15 pereka-pereka fesyen terbaik Malaysia, diantaranya adalah Radzuwan Radziwil, Carven Ong, Bon Zainal, Fizi Woo, Rasta Rashid, Kalima dan Leslie Variyan. Pihak TFEKL23 akan mengumumkan senarai lengkap para pereka yang terpilih secara rasmi kelak. Menggalas tugas memperagakan busana-busana eksklusif tersebut adalah lebih daripada 75 model yang paling hangat di ibu kota.
Para pereka fesyen dipilih berdasarkan nilai estetika yang tinggi, hasil kerja dengan kualiti yang diiktiraf, kreativiti serta ilmu teknikal yang mendalam, reputasi hebat di dalam industri fesyen negara serta keunikan tersendiri. Mereka akan mempersembahkan koleksi yang khusus direka dan dihasilkan buat TFEKL23 dengan gabungan elemen moden, tradisi, penuh bergata, inovatif dan tentu sekali tahap elegan serta keanggunan yang paling tinggi.

Turut melakar sejarah sebagai pertunjukan fesyen pertama yang akan disiarkan secara langsung di kaca TV oleh saluran dan platform media RTM, TFEKL23 diilhamkan dan dianjurkan oleh Bon Fashion Legacy dan Nuunaa Management. Acara tersebut juga telah mengumpulkan kolaborator-kolaborator dinamik yang merupakan kapten industri masing-masing seperti Menara Kuala Lumpur, Tourism Malaysia, DBKL, KL Hop on Hop Off dan Gentlemen’s Code.
Bon Zainal Harun, Pengasas dan Pengarah Bon Fashion Legacy dan TFEKL23 berkata, “Saya begitu berbangga dengan idea yang bakal direalisasikan ini terutama sekali kerjasama hebat yang ditunjukkan oleh para kolaborator yang amat saya hormati seperti Menara Kuala Lumpur, RTM, Tourism Malaysia, DBKL dan KL Hop On Hop Off. Sewaktu saya mula-mula menyuarakan hasrat untuk menganjurkan sebuah pertunjukan fesyen di Sky Deck, Menara KL, ramai yang menyatakan bahawa idea itu mungkin tidak masuk akal namun faktor itu jugalah yang mendorong saya untuk berusaha menjadikannya satu kenyataan.

Bersama-sama dengan pasukan TFEKL23 yang terdiri dari pakar di bidang masing-masing, saya percaya TFEKL23 akan menjadi titik permulaan kepada suatu yang sangat besar di masa akan datang”.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book of Records (MBOR), Jwan Heah, turut hadir ke majlis Sidang Akhbar TFEKL23 sebagai tanda sokongan terhadap TFEKL23 yang mencipta rekod sebagai pertunjukan fesyen tertinggi pernah dianjurkan di Malaysia. Bon Zainal seterusnya menyatakan bahawa DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin telah bersetuju untuk menghadiri acara utama TFEKL23 yang juga dianjurkan untuk meraikan sambutan Hari Malaysia sepanjang bulan September.
Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. berkata, “Bagi pihak Menara KL, saya harap agar acara ini akan menjadi acara tahunan berdasarkan impak positif yang bakal diterima bukan sahaja bagi industri pelancongan malah industri fesyen negara. Kedua- dua industri ini adalah di antara industri yang amat terjejas ketika dunia dilanda pandemik dan dengan adanya acara seperti ini, ia pasti menyumbang kepada inisiatif pembaikpulihan ekonomi negara. Kami amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan semua yang terlibat untuk menjayakan TFEKL23”.
