20230709_150529

Putrajaya – Program ‘Ini Warisan Kita’ anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) adalah platform untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia melalui khazanah warisan negara.

Program bertemakan ‘Melestarikan Perpaduan’ itu diadakan selama tiga hari sejak Jumaat lalu di sebuah pusat beli-belah di sini dan dirasmikan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang hari ini.

KPN berkata program itu bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan Malaysia Madani yang mengamalkan unsur-unsur penghormatan dan menjadikan warisan sebagai platform untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memelihara perpaduan dengan meningkatkan pengetahuan, pemahaman dan penghayatan rakyat berbilang kaum tentang warisan negara,” katanya.

KPN berkata, antara elemen utama program ‘Ini Warisan Kita’ ialah pameran rumah etnik seperti Chetti, Baba Nyonya, Mah Meri, Siam dan Portugis yang akan menampilkan pelbagai aktiviti seperti tarian, fesyen, makanan tradisional dan kraftangan.

Terdapat juga persembahan kebudayaan berunsur silang budaya serta manuskrip warisan yang merupakan khazanah negara yang tidak ternilai dipamerkan di Arkib Negara, Jabatan Muzium dan Perpustakaan Negara.

Bagi menggalakkan lebih ramai pihak menyertai program ‘Ini Warisan Kita’, KPN berkata pihaknya turut menawarkan insentif dalam bentuk geran sehingga RM50,000 tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan.

“Fokus utama insentif ini adalah meliputi bidang kepelbagaian etnik, bahasa, permainan tradisional, adat resam, makanan serta seni tradisional dan alat muzik,” kata kementerian itu.

KPN turut memperkenalkan beberapa inisiatif lain termasuk program ‘Nostalgia Anak Kampung’ yang mengembalikan sukan tradisional sebagai aktiviti kemasyarakatan khususnya dalam kalangan anak muda.

Leave a Reply