WhatsApp-Image-2023-07-15-at-3.31.52-PM-696x542

Kajang – Dalam membentuk generasi pemangkin yang sihat fizikal dan rohani, sudah pasti makanan sihat yang perlu dititik beratkan. Dalam membentuk masyarakat dengan amalan gaya pemakanan sihat, pelbagai program kesedaran diadakan pelbagai peringkat.

Kementerian Perpaduan Negara dalam usahanya menjalankan program Menu Sihat Perpaduan serentak melibatkan 1,781 buah Tabika Perpaduan dengan jumlah murid seramai 36,874 orang dan 41 Taska Genius Perpaduan dengan murid seramai 980 orang.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Haji Che Roslan Bin Che Daud berkata, program ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan serta kefahaman kanak-kanak, ibu bapa dan masyarakat mengenai kepentingan pengamalan menu sihat dalam kehidupan seharian.

“Selain dapat meningkatkan kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat mengenai penyediaan menu sihat yang bernutrisi serta pengamalan gaya hidup dan budaya pemakanan sihat.

“Program ini memberi pengisian untuk memastikan amalan pemakanan sihat dapat diterapkan kepada kanak-kanak bagi mengurangkan empat kesan malnutrisi di kalangan kanak-kanak antaranya, mengurangkan berat badan, terbantut, tersusut dan berat badan berlebihan atau obesiti.

“Hal ini penting sebagai dorongan kepada kanak-kanak menjalani kehidupan secara seimbang dan seterusnya memberi pendedahan awal kepada mereka mengenai amalan gaya hidup sihat serta pengetahuan pemilihan makanan seimbang,” ujarnya lagi.

Tambahnya, program ini dapat membentuk perkembangan fizikal dan minda dengan baik secara tidak langsung akan membentuk generasi yang boleh membangunkan negara.

Dalam pada itu, Kementerian Perpaduan Negara mengharapkan program ini dapat dijadikan sebagai pemangkin kepada peningkatan kualiti dan pengamalan pengambilan makanan yang sihat harus dipupuk dari rumah sejak peringkat awal usia kanak-kanak.

Pelaksanaan program ini melibatkan guru, penolong guru, pendidik, pembantu pendidik, ibu bapa, Jawatankuasa Penyelaras Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan serta masyarakat setempat dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri.

Program ini turut menyokong kepada Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang menjadi inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran.

Leave a Reply