Kuala Lumpur – Penyedia perkhidmatan tenaga solar, Gading Kencana Sdn Bhd menyasarkan pemasangan 500 buah kediaman atau premis dengan teknologi tenaga solar.
Pengarah Urusannya, Datuk Muhamad Guntor Mansor Tobeng berkata revolusi solar pada masa kini semakin mendapat sambutan dari orang ramai yang menyedari kebaikannya. Kesedaran pengguna mengenai penjimatan dan rebat pada bil elektrik, meningkatkan lagi penggunaanya.

“Semakin banyak tenaga yang anda hasilkan oleh panel solar, semakin sedikit tenaga yang anda perlukan dari pembekal tenaga elektrik dan secara tidak langsung ia akan meningkatkan daya tahan penggunaan tenaga di kediaman anda.
“Selagi sesuatu tempat itu dapat menerima cahaya matahari tanpa sebarang halangan seperti pokok atau apa sahaja, tenaga solar dapat digunakan. Ianya sangat berguna dan parktikal untuk digunakan di mana-mana kawasan” katanya.
Jelasnya, Gading Kencana merancang membina ladang solar keempatnya di Kedah dengan kapasiti 100 hingga 150 megawatt (MW) dalam tempoh dua tahun akan datang.
Sehingga kini syarikat itu memiliki ladang solar berskala besar di Ayer Keroh, Melaka serta dua lagi di Bidor, Perak, dengan rancangan untuk mengembangkan perkhidmatannya di wilayah utara tanah air.

“Kami sedang mengenal pasti tapak untuk pembangunan ladang solar dan ladang solar 100MW mungkin memerlukan pelaburan sehingga RM400 juta.
Gading Kencana bergerak selaras dengan dasar kerajaan untuk mencapai sasaran karbon sifar bersih menjelang 2050. Pada masa ini, kerajaan memperkenalkan mekanisme galakan dalam tarif terlebih dahulu, diikuti dengan pembidaan kompetitif untuk projek solar berskala besar, dan baru-baru ini melancarkan program kuasa hijau korporat.
Muhamad Guntor menambah syarikat itu juga merancang untuk pengeksportan ke luar negara selepas menarik minat beberapa negara termasuk Indonesia dan Filipina.
Jelasnya lagi, Gading Kencana turut bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk melahirkan lebih banyak usahawan pemasang panel tenaga solar di Malaysia.
“Fokus kami untuk meluaskan lagi industri ini kepada golongan bumiputera dan secara langsung mampu meningkatkan taraf ekonomi mereka.

“Sasaran kami adalah peningkatan dari 20 peratus kepada 50 peratus usahawan dalam tempoh lima tahun” ujarnya lagi.
Kerjasama ini memberi pengkhususan kepada Gading Kencana untuk membantu Mara menggubal modul pendidikan yang dilaksanakan dalam program pendidikan di institusi pendidikan Mara.
“Gading Kencana berterima kasih kepada Mara kerana mempunyai wawasan atau dasar yang cukup baik untuk bersama-sama kita melatih usahawan bumiputera untuk melibatkan diri dalam perniagaan pemasangan sistem solar,” kata Guntor.

Sebagai rekod, Gading Kencana kini memiliki kebolehan untuk menghasilkan 53,000 megawatt (MW) tenaga elektrik. Ia dijana melalui ladang solarnya di Bidor, Perak yang bekeluasan 40 hektar mampu menjana tenaga bagi 20,000 buah rumah.
Gading Kencana Sdn. Bhd. menjadi perintis bagi skim New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA) menerusi pembinaan loji jana kuasa solar baharu.
