Kuala Lumpur – Keluar dari dunia pekerjaan dalam bidang kejuruteraan pesawat dan menceburi perniagaan adalah sesuatu yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini. Dari gadis lasak, kini sebagai usahawan kosmetik sememangnya satu ruang yang berbeza.
Nur Fathin Zulaikha, 25, yang pada asalnya kurang berminat dalam perniagaan memilih meninggalkan pekerjaan lasaknya atas faktor kekangan persekitaran dan memecah ruyung memilih mengusahakan produk penjagaan kulit, Kyut Skin.
“Saya mengambil keputusan berhenti kerja kerana kekangan persekitaran dan masa, saya kurang masa untuk diri sendiri dan keluarga.
“Kemudian mengambil keputusan menceburi bidang keusahawanan bersama adik saya setelah kami berbincang dan membuat sedikit penyelidikan perniagaan jenis apa untuk diceburi” katanya.

Jelasnya, bidang keusahawanan dan perniagaan juga mempunyai cabaran tersendiri, namun dapat menikmati masa berkualiti bersama keluarga lebih-lebih lagi dibimbing oleh ibunya yang juga bekas guru perakuanan.
Berbeza pula dengan adiknya, Nur Fathini Khalillah, 22, atau lebih dikenali Ninie Comei yang lebih meminati bidang perniagaan dan kewangan. Beliau yang telah memulakan perniagaan secara dropship sejak belajar menjadikan pengalaman itu sebagai batu loncatan untuk lebih maju.
Ninie Comei yang juga pempengaruh perniagaan (Business Influencer) berkata, perniagaan kosmetik ini juga adalah satu bidang sandaran dalam membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk masayarakat menjana pendapatan.
“Kyut Skin ditubuhkan bukan sahaja untuk memenuhi ruang pasaran di negara kita tetapi misi kami adalah untuk membuka lebih banyak peluang menjana ekonomi dalam masyarakat.
“Ini kerana, produk kami tidak memfokuskan untuk menjual semata-mata tetapi mendidik setiap bakal ejen dengan ilmu keusahawanan melalui modul dan tenaga yang terlatih” katanya.
Jelasnya, Kyut Skin menyediakan kelas keusahawanan bagi setiap ejen yang dilantik untuk melahirkan para usahawan yang berniaga dengan ilmu dan teknik yang betul.
Beliau juga turut berkongsi perancangan mereka untuk menubuhkan Kyut Cafe dan Kyut Villa di Balik Pulau, Pulau Pinang sekurang-kurangnya pada tahun hadapan bagi merancakkan ekonomi dan peluang pekerjaan bagi penduduk setempat.
Sebagai tambahan, Kyut Skin bermula daripada pengalaman peribadi dan keinginan untuk mencipta penyelesaian bagi masalah yang sering terjadi dalam proses penjagaan kulit. Minat mendalam Fathin dan Nini dalam industri penjagaan kulit dan melancong membuka mata mereka terhadap pelbagai amalan penjagaan kulit di seluruh dunia. Bagaimanapun, masalah kulit yang dilalui oleh keluarga mereka sendiri telah menjadi pencetus kepada idea untuk membangunkan produk utama Kyut Skin, stik pelindung matahari yang mudah digunakan.

“Produk kami tidak mengandungi kandungan bahan terlarang dan tidak menjalani ujian klinikal terhadap haiwan, kesemuanya adalah berasaskan bahan-bahan organik dan sesuai untuk semua jenis kulit dan peringkat umur” jelas Fathin.
Pada tahun 2019, ibu kepada dua beradik tersebut mengambil bahagian dalam misi sukarelawan ke Pakistan tetapi mendapati agak sukar untuk mengaplikasikan semula pelindung matahari ketika perjalanan yang sibuk. Akibatnya, kulit mukanya mengalami kesan selaran matahari yang teruk sejurus pulang ke Malaysia. Situasi yang dialami ibu mereka itu telah mengilhamkan Fathin dan Nini untuk mencipta produk yang mudah, senang untuk digunakan, dan berkesan bagi menyelesaikan masalah penjagaan kulit buat orang yang sentiasa sibuk. Justeru, Kyut Skin diwujudkan dengan komitmen untuk menyediakan penyelesaian yang mudah tetapi inovatif bagi keperluan penjagaan kulit harian.
Tambahnya, setiap produk telah menjalani ujian klinikal dermatologis dan disahkan selamat digunakan. Jenama ini menjalankan ujian logam berat, ujian SPF, ujian mikrobiologi, dan ujian kestabilan untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan produk mereka.



“Setiap pengguna boleh menyemak sijil dan pengesahan selamat di laman web kami untuk rujukan” ujarnya lagi.
Kyut Skin mempunyai empat jenis produk antaranya; stik pelindung matahari, pencuci muka, krim pelembap dan penyembur muka Glowy. Kesemua produk boleh didapati dari platform media sosial mereka atau pembelian terus di Wisma Ninie Comei.
