1ea48beb-93cc-4ebb-a419-2b6f05a75bc9

Shah Alam – Dijangka 10,000 umat Islam akan membanjiri Stadium Malawati bagi menyertai Program Darul Ehsan Berselawat 2.0 di sini, Sabtu ini. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan hadirin selepas kejayaan Darul Ehsan Berselawat 1.0 sebelum ini.

Yang Dipertua Pekawanis, Datin Seri Masdiana Muhamad berkata, penganjuran edisi kedua itu merupakan kesinambungan program sulung yang mendapat sambutan menggalakkan pada 14 Januari lalu.

Program anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dan Pertubuhan Damai dan Cinta Insani (Pendamai) secara percuma itu dijadualkan bermula pukul 3 petang hingga 12 tengah malam. Edisi kedua bertemakan ‘Bernafas Dalam Hawqalah – Fakir Ila Allah’ berorientasikan cinta dan kasih sayang kepada junjungan kita Rasulullah SAW.

“Program ini dengan hasrat menyemai rasa cinta kepada Rasulullah SAW selain memohon Allah SWT menghindari perkara memudaratkan rakyat negeri ini,” katanya pada sidang media di kediaman Dato’ Menteri Besar di Seksyen 7.

“Edisi kedua ini akan dihadiri ulama dan pendakwah terkenal luar dan dalam negara seperti Sheikh Abu Zaki, Sheikh Ashraf Hamed Hassanin, Sheikh Abdullah Jahaf, Ustaz Neezam Al-Banjari dan Babul Mustofa.

“Selain berselawat dan zikir munajat, pelbagai program menarik disediakan antaranya Gema Haflah Al-Quran, Qasidah dan Mahalul Qiyam serta Tausiyah,” katanya.

Datin Seri Masdiana juga menambah, program ini turut mengangkat qasidah melayu bagi memartabatkan bahasa dan lenggok asli bangsa sendiri.

“Perkara ini memang dalam perancangan kami selain menjadi hasrat Dato’ Seri Amirudin Shari. Insya-Allah kita akan buat di peringkat daerah jika beliau diberi peluang mentadbir negeri selepas ini.

Beliau turut menjelaskan, program ini tiada kaita dengan sebarang politik walaupun ia berlangsung pada tarikh yang sama untuk Hari Penamaan Calon PRN nanti.

“Saya ingin menegaskan program ini adalah program keagamaan dan berbeza dengan politik, sebenarnya tarikh ini kami sudah merancang lama jadi kami mahu bezakan program berselawat dan politik adalah program yang berbeza. Kalau nak berpolitik pergi ke pentas politik” ujarnya lagi.

Penasihat Pendamai, Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi turut menambah program ini bertujuan meningkatkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dan memupuk semua masyarakat sentiasa mengamalkan selawat dalam setiap masa.

“Jadi kita harap umat Islam dapat hadir beramai-ramai dengan rasa cinta serta keabdian kepada Allah SWT dan baginda Rasulullah SAW.

“Datang beramai-ramai dan saya pasti dengan pengisian program yang menarik, kita mampu melahirkan lebih lagi rasa cinta dan rindu untuk berselawat” jelasnya.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading