51691980091_SanusiMdNorangka

ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Kedah ke-15 pagi ini.

Istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah itu berlangsung di Istana Anak Bukit di sini.

Muhammad Sanusi melafazkan sumpah menyandang jawatan berkenaan sekitar jam 10.17 pagi di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Pelantikan itu dibuat berlandaskan peruntukan di bawah Perkara 35 dan 37(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah selepas Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu menerima sokongan majoriti daripada ADUN-ADUN di negeri itu.

Terdahulu, pelantikan Muhammad Sanusi dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali.

Perkembangan ini sekali gus menjawab teka-teki siapakah yang bakal memegang jawatan itu bagi penggal ke-15.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan kerusi DUN Jeneri dengan majoriti undi 16,050, menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.

PN Kedah kini kekal mentadbir di negeri itu selepas memenangi 33 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Angka itu juga menjadikan PN mempunyai kedudukan yang kukuh bagi membentuk kerajaan negeri.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi merupakan penyandang jawatan itu selepas dilantik pada 17 Mei 2020, susulan mendapat sokongan majoriti ADUN ketika itu.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading