Kuala Lumpur – Kempen calon Perikatan Nasional (PN) untuk pilihan raya kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram, Johor akan dibantu hampir 200 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu.
Pendirian NGO itu dinyatakan hari ini ketika sesi dialog bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kempas, Johor.
Muhyiddin dalam masa sama menghargai sokongan gabungan NGO itu.
“Hari ini pertemuan bersama NGO Melayu, undi pengundi termasuk Melayu cukup penting untuk calon PN menang.
“Syarat untuk calon PN menang pada PRK Pulai dan Simpang Jeram adalah supaya golongan pengundi Melayu keluar beramai-ramai.
“Hanya duduk di rumah tapi tidak mengundi dan hanya harapkan kemenangan hasil pengundi lain, akan menyebabkan PN tidak mencapai kemenangan,” kata Presiden BERSATU itu.
Beliau yang juga ahli parlimen Pagoh ketika berucap pada majlis itu mengakui gelombang PN makin dirasai selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Ogos lalu.
“Gelombang PN itu sengaja dinamakan sebagai gelombang hijau bagi menakutkan-nakutkan orang bukan Melayu terhadap kemaraan PN,” katanya
